Sejak pelancaran WMoto Xtreme 150i, skuter berkonsepkan ekstrem ini telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Justeru, Wmoto dijangka bakal mengeluarkan skuter Xtreme 250cc pada tahun hadapan (2022) yang merupakan kesinambungan dari Xtreme 150i dan telah dilancarkan pada 11 Julai lalu. Dengan spesifikasi yang unggul, Xtreme 150i ini dijual pada harga berpatutan bermula RM9,588.00 tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran.
Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. telah merancang barisan produk terbaru untuk lima tahun akan datang yang bakal dilancarkan dan salah satunya adalah Wmoto Xtreme 250cc. Skuter ini sedang menjalani ujian ketahanan dan berada dalam proses untuk mendapatkan Vehicle Type Approval (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).
Tujuan Wmoto Xtreme 250 ini dikeluarkan adalah untuk memenuhi keperluan penunggang yang memiliki lesen B2 tanpa perlu menaik taraf lesen memandu mereka. Skuter 250cc ini menawarkan spesifikasi, teknologi dan penampilan yang lebih maju serta canggih.