Bertempat di Plaza Tol Sungai Besi, Arah Selatan telah berlangsungnya Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2019 pada 16 Januari yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Rosli Bin Isa, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR). Kempen yang memasuki tahun keempat ini dianjurkan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba dan diadakan di Plaza Tol Sungai Besi, Arah Selatan.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, kadar kemalangan jalan raya meningkat setiap tahun terutamanya menjelang musim perayaan ekoran peningkatan jumlah bilangan kenderaan di jalan raya. Sudah menjadi kelaziman rakyat Malaysia yang mengambil peluang cuti musim perayaan ini untuk pulang ke kampung halaman. Justeru, ianya amat penting untuk mengelak serta mengurangkan risiko kemalangan atau perkara yang tidak diingini dari berlaku semasa berada di jalan raya.
Pihak Kawasaki Motors Malaysia telah menganjurkan pelbagai program sebagai usaha untuk membanteras kemalangan yang melibatkan para penunggang di jalan raya. Antara program yang dianjurkan termasuk “Kawasaki Safety & Responsible Riding Course” atau KSRR untuk para pengguna motosikal Kawasaki sejak setahun yang lalu dengan objektif utamanya untuk memberi tunjuk ajar kepada penunggang motosikal agar lebih peka, bersedia dan lebih bertanggungjawab semasa berada di jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan.
Sebagai salah sebuah syarikat pengeluar motosikal di negara ini, Kawasaki Motors Malaysia berperanan dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat dengan menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya seperti ini. Bagi tahun 2019, Kawasaki Motors Malaysia bersama-sama Persatuan Penjual Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA) dan disokong rakan-rakan korporat serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bekerjasama menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 bertujuan untuk menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan di jalan raya.
Bertemakan “Jalan Raya Bukan Untuk Berlumba, Patuhilah Undang-Undang” kempen ini memberi penekanan dan kesedaran kepada para penunggang motosikal tentang aspek kemalangan serta cara penunggangan yang cermat di jalan raya. Kempen kali ini memberi fokus kepada Pemeriksaan Keselamatan pada 16 Bahagian Motosikal secara percuma untuk semua jenama dan model motosikal yang mengambil bahagian hari ini. Manakala pemeriksaan keselamatan dilakukan oleh juruteknik Kawasaki yang terlatih. Selain itu, reruai pameran oleh rakan-rakan korporat dan agensi-agensi kerajaan turut disediakan untuk para pengunjung.