Sempena tahun baharu 2022 ini, apa kata kita imbas kembali kenangan yang pernah dicipta pencinta dunia modifikasi. Tidak kiralah modifikasi kereta, motor ataupun audio. Masing-masing memberikan sumbangan bukan sahaja membuatkan Malaysia tidak ketinggalan, malah merancakkan ekonomi anak-anak tempatan.
Salah satu acara yang pernah menyemarakkan lagi dunia modifikasi satu ketika dahulu, Auto Street Cub Show D’ Teluk Batik. Sebagaimana diketahui, Teluk Batik bukan sekadar destinasi pelancongan. Ia juga telah berubah wajah dan mengikuti jejak langkah beberapa destinasi percutian terkenal di Malaysia dengan menjadi lokasi berlangsungnya pelbagai acara dan juga program seperti Auto Street Cub Show D’ Teluk Batik.
Dibahagikan kepada 2 bahagian besar; autoshow dan street cub, acara ini merupakan anjuran Geng Autoshow Perak (GAP). Pelbagai aktiviti dan segmen disediakan terutamanya Street Cub Classic Open yang berjaya menarik perhatian para pengunjung. Malah ia turut menerima penyertaan amat menggalakan dari para pemilik motor klasik yang jarang dan sukar ditemui hari ini.
Acara ini pastinya meninggalkan kenangan indah khususnya kepada para peserta yang terlibat secara langsung dan berjaya membawa pulang hadiah-hadiah menarik. Lebih menarik lagi, acara ini telah menerima tajaan dari beberapa nama besar seperti Auto Street Cub Show ini termasuklah Ipoh Audio Club, KW Motorsport, ZAF Design, Bigsumo dan lain-lain lagi.