Hujan dan litar yang basah, tidak menjadi penghalang untuk Md Akid Aziz meneruskan prestasi cemerlang seterusnya mendominasi Litar Jasin dalam kategori CP150. Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing ini membuka tirai Pusingan 1 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia sekali gus menguasai perlumbaan dan muncul juara.
Memandangkan cuaca hujan, sesi “Super-Pole” terpaksa dibatalkan dan para pelumba CP150 ditempatkan di grid berdasarkan masa lap daripada sesi kelayakan. Dengan itu, Akid Aziz telah memulakan perlumbaan di petak grid pertama diikuti oleh pelumba Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem di petak grid kedua dan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin di petak grid ketiga.
Sebaik perlumbaan dimulakan, Akid meluru ke hadapan dan memimpin kumpulan pelumba. Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Md Bahauddin mengambil kedudukan kedua diikuti Azroy di P3. Pada 8 lap terakhir, Azroy berjaya memintas Nazirul manakala Akid terus mendominasi perlumbaan. Memasuki 4 lap terakhir, Nazirul mengalami masalah jentera dan terpaksa menamatkan perlumbaannya.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran pada ketika itu mengambil kedudukan di P3. Akid meneruskan perlumbaan secara konsisten dan tampak selesa tanpa tekanan. Beliau meneruskan perlumbaan sekali gus menamatkan lap terakhir dengan catatan masa 17:17.228s. Azroy mengambil tempat kedua dengan catatan masa 17:20.733s. Di tempat ketiga adalah Afif dengan catatan masa 17:21.083s.
Manakala untuk kategori CP125 menyaksikan kejutan dilakar pelumba Honda KC Racing, Md Irfan Haykal Amidi yang muncul pemenang Pusingan 1. Beliau muncul sebagai juara selepas memintas Juara Keseluruhan musim lalu, Md Khairi Asyraf Mahmood dari Jetron Yamaha YYPang Racing Team.
Sesi “Shoot Out” yang berlangsung pada waktu pagi telah menempatkan Irfan di petak grid ketujuh apabila beliau mencatatkan masa terpantas pada 52.110s. Pelumba Winbox KM+ AXLA, Arash Tsunami Kamarudin yang mencatat 51.716s berada di petak grid pertama, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Md Syamil Amsyar Md Iffende yang mencatat 51.732s di petak grid kedua manakala Khairi dengan catatan 51.749s untuk berada di petak grid ketiga.
Perlumbaan akhir bermula dengan Arash mendahului tetapi terjatuh seawal lap kedua sekali gus memberikan peluang kepada pelumba-pelumba lain untuk memintas dengan Khairi berada di P1. Syamil yang pada ketika itu di P2 cuba memintas Khairi namun tidak berhasil. Namun kedudukan Khairi juga tidak kekal lama apabila pada 4 lap terakhir, Irfan memintas Syamil sebelum bersaing dengan Khairi.
Setelah memintas Khairi, Irfan terus memecut untuk memastikan jaraknya dengan Khairi dan berjaya memenangi perlumbaan dengan catatan masa 13:58.371s. Khairi akur di tempat kedua dengan catatan masa 13:58.755s. Syamil pula mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 14:00.595s.
Sementara itu untuk kategori Wira KBS juga tidak kurang hebatnya dengan aksi yang cukup mendebarkan di mana Md Akif Abdullah. Beliau mencuri tumpuan setelah berjaya mengesahkan gelaran di perlumbaan akhir sekali gus menghadirkan kemenangan kedua buat pasukannya, Honda KC Racing.
Akif memulakan perlumbaan di petak grid kedua selepas menamatkan sesi kelayakan di tempat kedua dengan catatan masa terpantas 53.420s di belakang pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing. Farres Putra Md Fadhil mencatatkan masa terpantas 53.182s bermula di petak grid pertama. Rakan sepasukan Akif, Adi Putra Anahar bermula di petak grid ketiga.
Sejurus perlumbaan bermula, Akif memintas Farres dan mendahului perlumbaan. Tidak lama kemudian, pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Md Adib Arsyad Md Hisam turut memintas Farres dan mengikut rapat di belakang Akif. Perlumbaan semakin sengit apabila Adib dan Farres bersaing untuk memintas Akif. Pada pertengahan perlumbaan Akif, Adib dan Farres kelihatan agak selesa dan memastikan kedudukan P2 and P3. Mereka berjaya membuka jurang dan meninggalkan pelumba-pelumba lain, namun babak sengit antara tiga pelumba di hadapan diteruskan.
Beberapa kali Adib memintas Akif, namun Akif yang dahagakan kemenangan itu menidakkan usaha Adib dengan pantas dan kembali mendominasi perlumbaan. Akif mengekalkan momentum sehingga ke garisan penamat dan memenangi perlumbaan dengan catatan masa 11:26.101s. Tempat kedua jatuh ke tangan Adib 11:26.333s. Farres mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 11:26.648s.
Pusingan 1 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia
Top 3
CP150
1. Md Akid Aziz – Yamaha KUL Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing (17:17.228s)
2. Azroy Hakeem Anuar – Honda SGR Honda Estremo Yuzy Racing (17:20.733s)
3. Ahmad Afif Amran – Yamaha TRG Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing (17:21.083s)
CP125
1. Md Irfan Haykhal Amidi – Honda PHG Honda KC Racing (13:58.371)
2. Md Khairi Asyraf Mahmood – Yamaha JHR Jetron Yamaha YYPang Racing Team (13:58.755)
3. Md Syamil Amsyar Md Iffende – Yamaha PNG Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing (14:00.595)
Wira KBS
1. Md Al-Syafiq Amirul Zaki – Lagenda-Tong Ban Seng Motor (10:37.292s)
2. Nuzzul Ady Muhammad Sudin – Taycon Motor (10:41.370s)
3. Md Adam Shahzhriel M Azhrel – Bee Eik Motor (10:43.572s)