Kejohanan FIM MiniGP Malaysia (FIM MiniGP Malaysia Series) akan bermula pada bulan hadapan. Kejohanan ini dikelolakan oleh Dorna selaku pemegang hak. Dorna juga merupakan pemegang hak kepada Kejuaraan MotoGP serta Kejuaraan Superbike Dunia. Oleh itu, kejuaraan MiniGP ini merupakan format perlumbaan yang diatur khususnya untuk program pelapis “Road to MotoGP” di seluruh dunia.
Pihak FIM telah memberikan tugas pemantauan kejohanan ini kepada Motorsports Association of Malaysia (Persatuan Sukan Permotoran Malaysia). Selain daripada itu, ZK Racing yang akan menjadi pengelola kejohanan ini di peringkat Malaysia. Litar Antarabangsa Sepang pula merupakan penyedia lokasi.
Malaysia merupakan satu daripada 12 negara yang akan mengadakan kejohanan tersebut. Setiap lokasi akan mengadakan empat pusingan. Setiap pusingan pula terdapat sebanyak dua perlumbaan. Hanya rakyat Malaysia yang berumur di antara 11 hingga 14 tahun sahaja yang dibenarkan untuk menyertai siri ini. Pemenang-pemenang akan dapat menyertai pusingan FIM MiniGP World Series Finals di hujung tahun.
Kejohanan ini akan mengambil alih daripada siri perlumbaan SIC MiniGP. Oleh yang demikian, siri SIC MiniGP akan memberhentikan kelas 160cc serta menukarkan kelas 110cc kepada SIC Ohvale Junior Championship.
Menurut setiausaha kanan MAM, Muizz Azli, kejohanan MiniGP ini akan memberikan suatu arah perkembangan yang jelas kepada bakat baharu di Malaysia. Ini memberikan peluang memupuk perkembangan mereka ke peringkat yang seterusnya seperti Asia Talent Cup, FIM CEV Series dan seterusnya ke kelas-kelas di dalam MotoGP.