Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd telah melancarkan dua model terbaharu Z Series iaitu Z250 ABS dan Z400 SE ABS untuk pasaran Malaysia pada 23 April lalu. Direka sebagai menepati ciri-ciri jentera supernaked, kedua-duanya dijual pada harga RM21,998 dan RM28,755 (tidak termasuk insurans). Meneruskan prestasi Z Series terdahulu, kedua-dua jentera ini disalutkan dengan gaya terbaharu yang lebih agresif. Diilhamkan menerusi gaya Sugomi yang terdapat pada model Z, ia merupakan gabungan dari rekaan Z650 ABS untuk penampilan yang agresif, lincah dan juga maskulin.
Kedua-dua model ini telah dilancarkan oleh YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Menteri Dalam Negeri, YBhg En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd dan YBhg. Dato’ Jeffrey Lim Chee Sing, Pengarah Urusan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd. Majlis pelancaran yang berlangsung di Sheraton Petaling Jaya Hotel ini turut dihadiri En.Yuji Horiuchi, Presiden, Motorcycle & Engine Company, Kawasaki Heavy Industries Ltd., Japan dan YBhg Datin Katrina Binti Abdullah, Pengarah Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd.
Kedua-dua model Z250 ABS dan Z400 SE ABS ini dilengkapi dengan enjin baru yang lebih berprestasi serta pengawalan yang lebih bagus. Berbanding model-model terdahulu, enjin yang dipasangkan pada kedua-dua model ini menawarkan prestasi yang telah dipertingkatkan. Z250 ABS mempunyai kapasiti 249 cc dengan kuasa 36.5 hp (37 PS) pada 12,500 rpm dan 23.5 Nm tork pada 10,000 rpm (meningkat 5 hp dan 2.5 Nm). Bagi Z400 SE ABS pula mempunyai kapasiti 399 cc dengan kuasa 48 hp (49 PS) pada 10,000 rpm dan 38 Nm tork pada 8,000 rpm.
Walaupun menggunakan enjin, kedua-dua model ini masih menggunakan tetapan dua silider selari, penyejukan cecair dan DOHC. Selain itu, ia juga didatangkan dengan injector dan throttle body Mikuni 32 mm. Antara kelengkapan lain yang terdapat pada kedua-dua model ini termasuk brek cakera depan dan belakang, sistem ABS two channel, fork teleskopik 41 mm, tangki bahan api 14 liter serta monoshock boleh laras. Setiap model hanya boleh didapati dalam satu warna pilihan; Candy Lime Green untuk Z250 ABS 2019 dan Pearl Storm Grey untuk Z400 ABS 2019.