Jenama motosikal Itali, Moto Morini yang sebelum ini diura-urakan memasuki Malaysia akhir tahun lepas kini secara rasmi bakal berada di pasaran tempatan Mei ini. Pengedar rasmi di Malaysia, MForce Bike Holdings baru-baru ini melancarkan dua varian dari model X-Cape iaitu X-Cape 650 (Standard) dan X-Cape 650X. Moto Morini merupakan jenama motosikal dari Itali yang dibangunkan oleh Alfonso Morini di Bologna sekitar tahun 1937.
Selain dari model X-Cape beberapa jentera yang di bawah nama Moto Morini adalah seperti Corsaro ZT, Corsaro ZZ, Milano dan Super Scrambler yang kesemuanya ditawarkan dengan kuasa enjin V-Twin bersesaran 1,200cc. Jentera dalam segmen pengembaraan – Moto Morini X-Cape 650 ditawarkan dalam bentuk CKD dengan pilihan model samada X-Cape 650 (biasa) dan X-Cape 650X. Ia ditawarkan untuk pasaran tempatan dengan harga jualan pada tag harga RM39,999 (varian standard) dan RM43,499 (model 650X).
Untuk info, Moto Morini X-Cape 650 didatangkan dengan padanan tayar saiz 19” depan dan 17” belakang dan bersama fork Marzocchi bersaiz 50mm boleh laras depan dan penyerap hentakan jenis KYB. Sistem pemberhentian pula hadir dengan brek jenis kaliper Brembo dengan sokongan ABS.
Manakala bagi model X-Cape 650X atau lebih dikenali dengan varian flagship, model ini hadir dengan beberapa perkakasan yang sewajarnya bagi sebuah jentera pengembaraan seperti ‘crash guard’, bash plate, engine guard di samping ia dipadankan dengan rim jenis soked wheel (rim lidi). Jentera pengembaraan ini mempunyai ketinggian tempat duduk pada paras 845mm bagi menjamin keselesaan ketika menunggang samada di atas jalan raya biasa mahupun aktiviti di hujung minggu di laluan off-road.
Selain dari itu, X-Cape 650 & X-Cape 650X mempunyai tangki bahan api dengan isipadu sebanyak 18 liter. Sekali pun agak kecil berbanding jentera pengembaraan lain, ia menawarkan ciri-ciri lain seperti paparan skrin TFT bersaiz 7-inci dengan paparan warna penuh LED dan dua pengecas USB. Kerangka jentera ini menggunakan kerangka jenis steel trellis dengan swingarm aluminium. X-Cape 650 dan 650X dikuasakan dengan enjin parallel-twin 649cc yang berupaya menghasilkan 60hp pada 8,250rpm dan 56Nm pada 7,000rpm.
Menurut MForce, setiap pembelian Moto Morini X-Cape 650 atau X-Cape 650X didatangkan dengan jaminan sejauh 20,000km atau dua tahun (yang mana hadir dahulu) dan ia hadir dengan dua pilihan torna warna yang hebat seperti Smoke Anthracite dan Red Passion pada Mei ini.