Nama Rimba Raid sudah tidak asing lagi khususnya kepada para rider dari luar dan juga dalam negara. Pada tahun 2023, program ini berlangsung dari 31 Ogos sehingga 4 September lalu. Namun, ada peserta yang sudah bersiap sedia melintas sempadan Thailand-Malaysia sejak 27 Ogos lagi.
Selain pasukan dari Thailand yang sudah beberapa tahun menyertai Rimba Raid, kali ini Rimba Raid 2023 dimeriahkan lagi dengan penyertaan dari Vietnam yang tidak mahu ketinggalan. Mereka memulakan perjalanan sejauh 2430km dari Ho Chi Minh ke Malaysia.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran yang dibuka pada 31 Ogos di kawasan letak kenderaan Kuala Tahan. Sebelum meneruskan program, para peserta atau racer diminta membawa motosikal masing-masing ke tempat Scutineering untuk tujuan pemeriksaan. Seterusnya, pergi ke kaunter kesihatan untuk pemeriksaan yang menentukan sama ada peserta layak atau tidak untuk menyertai program kali ini.
Pada keesokan harinya iaitu pada 1 September, para peserta bersedia untuk Prologue Race selepas selesai pemasangan Transponder. Bagi makluman, Prologue Race di Jalan Lembaga Koko ini diadakan buat kali pertama dalam program Rimba Raid.
Program diteruskan lagi pada awal pagi keesokan harinya di mana para peserta berkumpul terlebih dahulu di kawasan letak kenderaan di Kuala Tahan. Sekitar pukul 7.30 pagi, para peserta berkonvoi ke Kg Pagi sebelum para peserta dilepaskan pada pukul 8.30 pagi.
Rimba Raid kali ini memerlukan para peserta menamatkan perlumbaan di garisan penamat sejauh 191km dari garis permulaan. Para peserta menyertai laluan yang mencabar seperti melintas sungai dengan air yang agak deras ekoran sudah hujan beberapa hari sebelum program berlangsung.
Selain itu, para peserta juga terpaksa menempuh kawasan tanah selut yang mencabar, memanjat Gunung Dulang, melalui Bukit Tobat, keluar melalui Jurassic Park dan melalui jalan Felcra sebelum tiba ke garisan penamat. Para peserta perlu tiba di garisan penamat pada jam 3.00 petang.
Sekitar pukul 6.30 petang iaitu penutup race track, kesemua peserta perlu keluar dari kawasan track sebelum matahari terbenam kerana khuatir terserempak dengan penghuni-penghuni hutan seperti gajah, harimau kumbang dan harimau yang diberi gelaran logo Maybank oleh para penduduk setempat.
Sebanyak 25 buah negara terlibat dalam penganjuran program Rimba Raid 2023 ini melibatkan 19 model dan jenama motosikal dari 250cc sehingga 1250cc. Sejumlah 259 orang peserta terlibat termasuk 19 orang racer wanita dari Malaysia, Singapura, Thailand, Kanada, Manila. Tahun ini juga menyaksikan penyertaan pasangan suami isteri iaitu Nor Shamira Azhar bersama suami, pelumba Khai Zabidin ditemani anak bujangnya, pelumba Australia iaitu Ali bersama anaknya Adam.
Tidak ketinggalan, pelumba Giovanni Sala yang pernah menaiki podium sebagai juara di World Enduro DAKAR bersama rakannya Yoshio Ikemach podium dalam kelas C. Selain itu, ada juga pelumba yang mendaftar mengikut kemasukan pasukan iaitu 32, team racer seramai 218 dan seterusnya mendaftar secara individu.
Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada GIVI, Petronas dan semua penaja serta tenaga kerja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan GIVI Rimba Raid 2023 ini. ~K.Nor~