Lain orang lain ragamnya. Begitulah jiwa seorang yang kalau sudah gila motor. Ada yang terpikat kerana model, ada yang kerana jenama dan ada juga yang terpikat apabila mendengarkan bunyinya. Selera masing-masing. Citarasa masing-masing. Wang ringgit bukan lagi menjadi persoalan. Janji hasrat tercapai, motosikal idaman dimiliki.
Harley Davidson merupakan satu jenama motosikal tersohor di kalangan peminat chopper. Berasal dari USA, pelbagai modelnya telah memasuki pasaran negara. Tidak dinafikan Harley Davidson mendapat tempat di hati peminat chopper di Malaysia.
Hari ini dapat dilihat jentera dua roda Harley Davidson memonopoli pasaran easy rider negara. Bila ditanya kepada peminat chopper, apakah motor idaman? Jawapan semuanya menjurus ke Harley Davidson. Begitu juga halnya dengan seorang ahli perniagaan dari Hulu Langat ini, Mohd Khayai Atan. Pantang mendengar bunyi ekzos yang meletup-letup, matanya akan sentiasa mencari arah datangnya bunyi tersebut. Dalam hati, beliau menyimpan hasrat untuk memiliki motosikal dengan bunyi yang sama, satu hari nanti.
Bunyi ekzos yang meletup itu datang dari motosikal Harley Davidson yang juga merupakan motosikal idaman beliau. Hasrat tercapai dan model Harley Davidson Sportster Nightster 1200 keluaran tahun 2012 menjadi miliknya. Relevan? Ya, kerana model Harley mengeluarkan bunyi yang digemari beliau. Ini berdasarkan karekter tersendiri yang dimiliki Harley; gegaran di enjin semasa menunggang. Begitu juga dengan jenama motosikal yang lain. Masing-masing mempunyai karakter berbeza.
Jangan sangka easy rider tidak boleh memecut. Menurut Mohd Khayai, beliau pernah mencuba prestasi motosikal kesayangannya dengan memecut sehingga 220km/j. Demi menambahbaikan sistem ekzos motosikalnya, piping jenis RSD dipasang serta diadunkan dengan tabung ekzos jenama Screaming Eagle.
Inilah rahsia meletup-letup yang sering didengari beliau sebelum memiliki jentera dua roda tersebut.
Demi memantapkan lagi cengkaman di jalanraya, beliau memilih tayar Pirelli sekaligus menampilkan kelainan pada Harley miliknya jika dibandingkan dengan model jenama yang sama. Menurut beliau, yang gemar melayan selekoh, tayar Pirelli ini bersifat lembut di tepi dan keras di tengah atau dipanggil inter-medium.
Tayar depan yang menggunakan saiz 190/90/19 dan belakang pula saiznya ialah 150/80/16. Boleh dikatakan jentera kesayangan beliau masih lagi mengekalkan identiti Harley Davidson. Tidak banyak penambahan aksesori serta modifikasi dilakukan beliau yang juga merupakan seorang ahli kelab Sportster Malaysia.