Bagi peminat skuter yang masih mencari jentera idaman yang seimbang dari segi gaya, prestasi dan harga, Keeway XDV180 Evo mungkin jawapan yang dinanti-nantikan. Dikenali dengan reka bentuk bergaya ala adventure scooter, model ini hadir dengan ciri-ciri menarik yang menjadikannya antara pilihan paling bernilai dalam kelasnya.
Didatangkan dengan enjin 174cc silinder tunggal 4-lejang, jentera ini mampu menjana kuasa maksimum 17.43hp pada 8,500 rpm serta daya kilas 17.2Nm pada 6,500 rpm. Cukup bertenaga untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak sederhana tanpa mengorbankan kecekapan bahan api.
Dari segi pengendalian, Keeway XDV180 Evo cukup mesra penunggang. Dengan berat kering hanya 145kg dan ketinggian tempat duduk 795mm, ia mudah dikendalikan oleh penunggang pelbagai peringkat. Tambahan pula, jarak kelegaan tanah 140mm memberikan kelebihan ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata.
Reka bentuknya kompak namun kemas dengan ukuran keseluruhan 1,940mm panjang, 770mm lebar dan 1,285mm tinggi, serta jarak roda 1,335mm. Kapasiti tangki bahan api 10 liter pula memberi kelebihan untuk tunggangan lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak.
Ciri keselamatan turut tidak diketepikan. Brek cakera di bahagian hadapan dan sistem ABS dwi-saluran di bahagian belakang memastikan kawalan membrek lebih stabil dan selamat. Sesuatu yang amat dihargai terutama dalam situasi jalan raya tidak menentu.
Dengan harga asas RM9,388.00 dan tiga pilihan warna menarik Grey, Black dan White. Keeway XDV180 Evo sememangnya satu tawaran yang sukar ditolak. Ringkas, padat dan bergaya, skuter ini cukup sesuai untuk mereka yang inginkan sesuatu yang praktikal, moden dan seronok ditunggang.