Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Litar Permotoran Terengganu menyajikan aksi penuh debaran dari awal hingga akhir hujung minggu perlumbaan. Ribuan peminat membanjiri litar bagi menyaksikan deruman enjin dan kehebatan pelumba tempatan bersaing dalam pelbagai kategori, termasuk CP150, CP125 dan Wira KBS. Cuaca yang baik serta sambutan hangat daripada penonton menjadikan pusingan ini antara yang paling meriah musim ini, dengan setiap perlumbaan menawarkan drama, strategi, dan detik mencemaskan.
Dalam kategori CP150, Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR muncul juara selepas pertarungan sengit. Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING bermula dari petak utama dengan catatan terpantas 49.073s, diikuti Kasma dan rakan sepasukan, Danial Syahmi Ahmad Shahril. Perlumbaan bermula panas sebelum insiden pada pusingan ke-4 memaksa perlumbaan dihentikan dan disambung semula dengan format 10 pusingan.
Sebaik bersambung, Nazirul Izzat mendahului sebelum terjatuh bersama Md Shafiq Rasol pada pusingan ke-7, membolehkan Afif kembali memimpin dibayangi Kasma. Pusingan ke-12 menjadi penentu apabila Kasma memintas Afif dan mengekalkan kedudukan hingga garisan penamat dengan catatan masa keseluruhan pada 22’41.557s, hanya berbeza 0.034s. Danial menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 22’43.358s, memastikan dua wakil PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR berada di podium.
Manakala dalam kategori CP125, Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING muncul juara selepas pertarungan sengit di Litar Permotoran Terengganu. Perlumbaan bermula dengan dominasi Syamil dan Farid dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, manakala Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM berada di kedudukan ketiga.
Memasuki pusingan ke-4, Izam yang bermula di kedudukan kelima memanfaatkan kekeliruan di hadapan untuk memintas dan mengambil alih pendahuluan. Md Adib Arsyad dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR terjatuh, memberi ruang kepada Farid untuk mara ke kedudukan kedua.
Izam berjaya mengekalkan rentak hingga ke garisan penamat dengan masa 12’55.756s, hanya 0.387s di hadapan Farid yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 12’56.143s. Syamil melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan 13’01.834s.
Sementara itu, kategori Wira KBS menyajikan aksi penuh debaran apabila Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM meraih kemenangan keduanya musim ini selepas menewaskan pesaing utama pada saat akhir. Bermula dari petak kedua, Akif berdepan cabaran awal daripada Md Al-Syafiq dan Md Syahmi Aiman dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING, serta Farres Putra Mohd Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING.
Perlumbaan semakin tegang apabila Farres berjaya memintas Akif pada pusingan ke-3, manakala insiden kemalangan pada pusingan ke-6 melibatkan Al-Syafiq dan Raiyan Khardanee membuka peluang kepada pelumba lain mencabar kedudukan podium. Akif terus membayangi Farres, menunggu peluang terbaik untuk menyerang.
Detik penentu tiba pada pusingan ke-11, apabila Akif melancarkan pintasan berani di selekoh 5 dan mengekalkan kedudukan hingga ke garisan penamat dengan masa 10’33.034s. Farres menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 10’33.196s, manakala Md Akid Md Shah Khearul Nisiam di tempat ketiga dengan 10’39.238s.
Top 3 Terpantas – C150
1-Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (22’41.557s)
2-Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (22’41.591s)
3-Danial Syahmi Ahmad Shahril – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (22’43.358s)
Top 3 Terpantas – C125
1-Md Izam Ikmal Izamli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (12’55.756s)
2-Md Farid Hakimi Farid Sezli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (12’56.143s)
3-Md Syamil Amsyar Md Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (13’01.834s)
Top 3 Terpantas – Wira KBS
1-Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (10’33.034s)
2-Farres Putra Md Fadhill – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (10’33.196s)
3-Md Akid Md Shah Khearul Nisiam – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (10’39.238s)