Ribuan pengunjung membanjiri Spice Arena Penang sepanjang hujung minggu lalu kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat koleksi motosikal dan kereta sempena penganjuran Everxon Auto & Cycle Show. Diadakan selama tiga hari bermula dari 4 hingga 6 Ogos lalu, program anjuran Everxon Terra ini tetap menerima sambutan walaupun di tengah-tengah kehangatan kempen pilihan raya di mana-mana!
Dihadiri tetamu kehormat, Ketua Pegawai Eksekutif LBI Motor Sdn Bhd, Dato’ Lokman Ismail, program yang dianjurkan buat julung kalinya ini berjaya menarik kunjungan seramai lebih 10,000 orang sepanjang tiga hari diadakan. Bagi memastikan program berjalan lancar, pihak penganjur telah menyediakan pelbagai aktiviti khususnya pameran jenama motosikal dan kereta antarabangsa seperti Kawasaki, Aprilia, Vespa, Ferrari, Porsche dan pelbagai kereta JDM.
Selain itu, pertandingan motor klasik yang dibuka kepada umum turut mendapat sambutan. Tidak ketinggalan, aktiviti e-sport dan permainan lain juga menjadi daya tarikan utama dalam kalangan anak-anak muda. Bukan itu sahaja, program terus dimeriahkan lagi dengan kehadiran beberapa selebriti tanah air termasuk Bidin Al Zaifa dari Waknat TV yang menghiburkan para pengunjung. Begitu juga dengan kehadiran Lando Zawawi juga mencuri tumpuan ramai.
Program bertambah hangat dengan persembahan penuh bertenaga dan bersemangat dari kumpulan yang diminati ramai, XPDC. Konsert Kita Peng Yu ini diadakan pada hari Jumaat dan menghiburkan para pengunjung, khususnya para peminat rock di Malaysia. Sejurus selepas persembahan ini, acara diteruskan dengan segmen cabutan bertuah di mana sebanyak 2000 hadiah disediakan yang bernilai hampir RM200,000.00.
Sebanyak lima orang pemenang istimewa berpeluang makan malam bersama Ms Puiyi selain hadiah utama iaitu sebuah Vespa. Bagi makluman, segmen Cabutan Bertuah ini diadakan setiap hari. Begitu juga dengan segmen kuiz yang menawarkan hadiah-hadiah istimewa. Tahniah diucapkan kepada para penganjur kerana berjaya menganjurkan sebuah program yang memang dinanti-nantikan para pencinta dan penggiat dunia permotoran sama ada motor mahupun kereta!