Bikers dari seluruh negara dan beberapa negara jiran berhampiran sudah dijangka akan memeriahkan Johor International Bike Week 2019 (JIBW2019) yang diadakan di perkarangan Stadium Pasir Gudang. JIBW2019 bukan sahaja berjaya menarik bilangan bikers yang ramai, malah acara bike week ini juga berjaya mengumpulkan seramai 86 orang rider wanita berkonvoi di atas nama Gabungan Kelab Bikers Wanita (GKBW) yang diketuai Puan Maznah Muhamad.
Bukan nama asing dalam dunia permotoran khususnya melibatkan senario permotoran wanita, ini bukan kali pertama Puan Maznah mengendalikan konvoi seumpama ini. Beberapa siri jelajah bermotosikal telah berjaya diadakan sebelum ini membabitkan penyertaan rider wanita dari dalam dan luar negara.
Dalam siri ini, GKBW turut disertai beberapa kelab permotoran wanita seperti Ladies Bikers Johor, Ladies Bikers Malaysia, Women On Wheels, Queen Rider Malaysia, Bad Throttle Girl dan lain-lain lagi. Program kali ini tidak dihadkan kepada jentera berkuasa besar sahaja dan turut disertai motor dari 250cc hingga 1200cc. Pihak KTM Malaysia dan Zontes Malaysia menaja 8 buah motosikal kepada peserta GKBW untuk dipandu uji.
Dua jentera dari KTM Malaysia iaitu model KTM290 dan KTM390 mungkin agak biasa di kalangan bikers, namun kehadiran jentera unik Zontes ZT310-T, Zontes ZT310-X dan ZT310-R sedikit mencuri perhatian peserta konvoi dan juga pengunjung JIBW2019. Bukan itu sahaja, pihak KTM Malaysia juga telah menaja baju-t rasmi konvoi GKBW kali ini.
Pergerakan awal konvoi bermula dari Dataran Masjid Putrajaya seawal jam 7.30 pagi dan berhenti pada pit stop pertama iaitu di Petronas Air Keroh yang berbesar hati menaja sarapan pagi semua peserta. Perjalanan diteruskan dan segala perancangan berjalan dengan baik termasuk aspek keselamatan dan lalulintas yang dikendalikan barisan marshal berpengalaman.
Justeru itu, tidak begitu sukar bagi kumpulan rider kaum hawa ini menakluki Pasir Gudang dengan mudah. Setibanya di Pasir Gudang, lokasi pertama ialah Kampung Pasir Putih. Di sini kehadiran peserta konvoi dinanti-nantikan. Ketua Kampung Pasir Putih, En Suhaimi Ahmad dan penduduk telah mempelawa semua peserta dengan jamuan makan tenghari Nasi Ambang iaitu sajian istimewa masyarakat Jawa Melayu Johor.
Lebih kurang jam 2.00 petang, peserta GKBW ke tapak bike week untuk memeriahkan acara perasmian JIBW2019. Menjelang petang, setelah penat meluangkan masa di tapak bike week, melawat gerai-gerai pameran dan jualan serta membeli-belah merchandise rasmi JIBW2019, para peserta konvoi bergerak ke hotel dan bersiap sedia untuk majlis Gala Dinner JIBW2019 yang berlangsung pada sebelah malam.
Majlis Gala Dinner JIBW2019 berlangsung dengan begitu meriah, disamping makanan yang lazat dan menyelerakan. Acara berlangsung dengan ucapan Pengerusi JIBW2019, Tuan Haji Rahim @ Haji Rock, majlis pertukaran cenderamata kelab-kelab permotoran dan turut dimeriahkan dengan persembahan khas tarian poco-poco oleh ladies bikers pada malam tersebut.
Pihak GKBW merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada jawatankuasa penganjuran JIBW2019 kerana kejayaan menganjurkan temasya permotoran ini. Terima kasih kepada para penaja konvoi GKBW pada kali ini seperti Pertonas Air keroh, Tuan Haji Ismail, KTM Malaysia, Zontes Malaysia dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada peserta-peserta yang amat cekap dan berdedikasi dalam menjayakan program kali ini.
Perkongsian : Rohaizat Adnan