HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) menampilkan skuter Yamaha NMax dalam dua warna gaya baharu iaitu Matt Green dan Matt Blue yang akan berada di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara bermula dari 19 Julai 2022 ini.
Terdahulu, Yamaha NMAX yang diangkat selaku model motosikal yang lincah, mudah dikendalikan dan menjimatkan telah mula diperkenalkan kepada pengguna motosikal tempatan sekitar tahun 2016 dan sejak itu ia mendapat perhatian dari pencinta jentera dua roda yang meminati sebuah motosikal dalam segmen automatik.
Begitu pun, penampilan warna baharu untuk versi Yamaha NMAX 2022 (Matt Green dan Matt Blue) turut merangkumi harga baharu iaitu RM9,498 dan ia hadir tidak termasuk pendaftaran dan perlindungan insurans.
Kenaikan harga Yamaha NMAX yang sebelum itu (RM8,988 seunit juga tanpa yuran pendaftaran dan perlindungan insuran) menurut HLYM adalah bagi memberi keseragaman kepada semua model motosikal Yamaha.
Begitupun, pemilik yang berminat untuk mendapat model baharu Yamaha NMAX boleh menikmati faedah tambahan dengan penerimaan kunci cakera keselamatan Yamaha bernilai RM100, dengan setiap pembelian unit motosikal terbabit.
Untuk info, model Yamaha NMAX dikuasakan oleh enjin 155 cc, silinder tunggal, Single overhead camshaft (SOHC) dengan enjin Penggerak Injap Boleh Ubah yang boleh menghasilkan kuasa 11.3 kW pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm. Secara keseluruhan, rekabentuk NMAX 155 tidak banyak berubah sejak model itu mengalami perubahan pada awal tahun 2021.