Setelah bekerja keras dan terlibat dalam pelbagai aktiviti, tiba masanya untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tercinta. Bagi meraikannya bersama rakan-rakan yang berkongsi minat sama, MT15 Kota Setar Squad (MT15KS) telah membuka tahun 2024 dengan menganjurkan program Hari Keluarga di Chalet Rimbun Hijau Yan di Kedah.
Family Day MT15 Squad Kota Setar 2.0 ini berlangsung selama dua hari pada 12 dan 13 Januari yang lalu. Program Hari Keluarga merupakan acara wajib tahunan MT15KS di mana setiap ahli perlu “parking motor, bawak anak bini” untuk bersama-sama memeriahkan lagi suasana.
Selain aktiviti ride, pertemuan keluarga amat penting untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli-ahli MT15KS. Program kali ini melibatkan seramai 50 orang peserta dan kebanyakan ahli telah membawa anak-anak, isteri dan ibu bapa masing-masing sekali gus membuktikan, kelab permotoran bukan hanya sekadar rider dan motosikal.
Sebelum menuju ke lokasi yang telah dipilih, para peserta berkumpul terlebih dahulu di Petronas Jalan Simpang Kuala (Nasi Royale) dan mula bergerak sekitar pukul 11.30 pagi menuju Medan Selera Pantai Murni untuk berehat dan menunaikan solat Jumaat sebelum bergerak semula sekitar pukul 2.30 petang.
Para peserta tiba dan mula mendaftar masuk ke Chalet Rimbun Hijau Yan pada pukul 3.00 petang dan acara diteruskan dengan barbeku sehingga pukul 7.00 petang. Dilakukan secara santai, peluang ini digunakan sepenuhnya oleh setiap peserta berseronok dengan melakukan pelbagai aktiviti dengan bermandi kolam dan ada juga yang mandi di sungai.
Kemudian, semua peserta berehat sebentar untuk menunaikan solat Maghrib dan bersiap sedia untuk majlis makan malam. Boleh dikatakan, sepanjang hari pertama ini para peserta meluangkan masa secara santai. Beramah mesra dan mengambil peluang berkenalan lebih rapat lagi bersama ahli keluarga masing-masing yang berlarutan sehingga lewat tengah malam.
Keesokan harinya, para peserta diberikan kebebasan untuk menikmati sarapan dan bersiap-siap mendaftar keluar sekitar pukul 11.00 pagi seperti yang telah dijadualkan. Satu lagi program keluarga yang berjaya diadakan sebaik-baiknya. Sudah tentu, kesemua ahli dan keluarga masing-masing menantikan program Hari Keluarga yang akan datang yang berkemungkinan besar diadakan di Langkawi, Kedah!