Seperti yang kami wawarkan sebelum ini di dalam artikel mengenai kerjasama di antara BMW Motorrad dan Marshall, model-model BMW R 18 Transcontinental serta BMW R 18 B telah dilancarkan.
Varian Transcontinental merupakan model jenis “tourer” seperti Harley-Davidson Electra Glide serta Indian Roadmaster yang mempunyai ciri-ciri seperti boks kiri-kanan 27 liter, serta boks atas berkapasiti 48 liter. Kapasiti boks atas berkurangan sedikit jika anda memilih sistem audio Marshall model premium dengan empat pembesar suara. Selain daripada itu, varian ini juga memaparkan ciri gear under (reverse) seperti yang terdapat pada model Indian Roadmaster dan Honda Gold Wing.
Varian R 18 B pula menggunakan rekabentuk “bagger” iaitu motosikal touring yang kelihatan lebih “custom” tanpa boks atas. Pemilik model ini boleh memasang sistem audio Marhsall dengan dua pembesar suara.
Kedua-dua varian menggunakan penahan angin (fairing) touring atas yang besar. Juga, tangki petrol dibesarkan kepada kapasiti 27 liter berbanding dengan yang 18 liter yang terdapat pada varian R 18. Ini membolehkan mereka berjalan dengan lebih jauh sebelum perlu diisi minyak.
Tambahan lagi, model-model ini boleh dipasangkan dengan ciri kawalan jelajah beradaptasi (adaptive cruise control) yang menggunakan radar seperti yang terdapat di atas model R 1250 RT. Komponen elektronik lain termasuklah skrin TFT sebesar 10.25-inci(!) yang mengawal sistem audio, kuasa enjin, sambungan telefon dan sebagainya; serta ABS, kawalan cengkaman tayar, kuasa membrek enjin, kawalan stability motosikal, dan sebagainya.
Kedua-dua model ini berdasarkan platform “cruiser” BMW R 18 yang telah dilancarkan pada tahun lepas. Oleh itu, mereka menggunakan enjin jenis “Boxer” 1800cc sejukan minyak serta udara yang menghasilkan kuasa maksima sebanyak 91 hp dan tork maksima sebanyak 158 Nm.
Model-model R 18 Transcontinental serta R 18 B ini dilancarkan sebaik sebelum berlangsungnya rali motosikal cruiser yang terbesar di Sturgis, South Dakota di Amerika Syarikat. Memang tidak syak lagi bahawa BMW hendak mencabar kedudukan Harley-Davidson serta Indian sebagai pengeluar cruiser. BMW Motorrad sudah mempunyai pencabar untuk Honda Gold Wing iaitu model K 1600 LT serta K 1600 B.