Saban hari, ada sahaja berita tentang skuter atau motosikal elektrik yang menjadi sebahagian pengangkutan perdana. Selain rekaannya yang radikal tetapi tampil lebih segar, kebanyakannya masih lagi kekal sebagai hasil konsep. Namun, apabila melihat skuter elektrik dari BMW yang baru sahaja dilancarkan iaitu BMW CE-04, mungkin ramai tidak menyangka ia benar-benar wujud pada hari ini.
Sebagaimana beberapa rekaan lain, ia semuanya bermula dari cetusan ilham atau idea. Rekaan CE-04 yang pertama kalinya didedahkan sebagai prototaip Concept Link pada tahun 2017, sebuah studio Vietnam iaitu Carota Design telah datang dengan rekaan skuter futuristik yang boleh dikatakan sebagai rekaan retro-futuristik.
Rekaan yang cukup estetik dengan penampilan yang kemas, ia sesuatu yang memang diharapkan dari jentera sebuah BMW. Skuter konsep yang digelar sebagai K04-55, jika benar-benar memasuki produksi ia bakal menjadi salah sebuah skuter elektrik futuristik BMW yang menawarkan kepuasan serta gaya yang lebih retro.
K04-55 ini dikatakan mendapat kuasa elektrik yang disalurkan ke roda belakang dan diletakkan di bawah pelana, betul-betul di bahagian tengah. Skuter elegan ini mengingatkan kepada gaya cafe-racer klasik, lengkap dengan lampu LED di bahagian belakang.
Seperti yang dinyatakan, K04-55 bukan rekaan rasmi BMW tetapi sebuah konsep yang direka oleh Carota Design. Agak menarik sekiranya, lebih banyak model-model konsep seperti ini muncul di masa akan datang. Siapa tahu, mungkin ia bakal menjadi realiti dan memasuki produksi. Kita tunggu dan lihat.
Sumber : Rideapart