Adakah ini satu strategi atau obsesi pihak Yamaha yang cenderung melancarkan motosikal edisi terhad berkonsepkan adiwira dan juga filem? Menurut laporan Rideapart, Tuning Fork Company telah melancarkan livery bertemakan Star Wars untuk skuter NMax di Brazil pada Jun lalu. Bukan itu sahaja, naked bike FZ25 bertemakan Super Squad turut dilancarkan selepas model Avengers. Kali ini, Yamaha melancarkan MT-03 edisi terhad bertemakan adiwira kesayangan ramai, Iron Man!
Jangan pandang rendah terhadap apa juga strategi yang dilakukan Yamaha kerana pasti di luar sana ramai peminat Iron Man mahu memiliki sebuah motosikal MT-03 ini. Sayangnya, ia hanya dipasarkan di Brazil pada harga $4,965 USD (RM20,647.65). Sebagaimana yang dapat dilihat, MT-03 bertemakan Iron Man ini menggunakan motif watak adiwira itu dengan warna merah berkilat dan kemasan berwarna emas. Ya, warna ikonik Iron Man. Tidak dilupakan, logo Avengers di bahagian lampu utama dan logo Iron Man di pad tangki bahan api.
Namun, tiada apa-apa peranti berteknologi tinggi yang ditemui pada motor ini. Kalau motor ini benar-benar menggunakan tema Iron Man, perkara itu tidak harus berlaku kerana Tony Stark tentu tidak menghargai usaha Yamaha ini apatah lagi menyukainya.
Anda peminat Iron Man? Adakah Yamaha MT-03 ini mampu membuat anda ingin memilikinya?
Sumber : Rideapart / News.maxabout