Foto: MUSC Motorsports / Aie Mins @ Perotography
Siri perlumbaan DAR – MUSC Malaysia Drag Racing Championship Road Tour 2019 kembali semula ke Litar Lumba Gong Badak, Kuala Terengganu untuk pusingan akhir pada 27 & 28 Disember yang lalu. Ia menjadi perlumbaan terpenting kepada sesetengah pelumba, untuk penentuan juara keseluruhan bagi kategori masing-masing.
Pemilihan Litar Lumba Gong Badak dibuat memandangkan ia merupakan satu-satunya litar drag paling sempurna di negara ini. Walaupun berupaya menjalankan perlumbaan sejauh 402 meter, namun atas permintaan ramai jarak perlumbaan telah dihadkan kepada 201 meter sahaja.
Perlumbaan motosikal berlangsung pada hari pertama dan dibahagikan kepada lapan kategori iaitu 4T <150 True Street, 2T <150 True Street, 4T <110 Pro Street, 2T <150 Pro Street, 4T <150 Pro Drag, 2T <150 Pro Drag, serta dua kategori tambahan iaitu SR1 4T<150 (65mm) True Street dan SR2 RXZ/Panther/KIPS/RR Pro Street. Dalam perlumbaan ini, beberapa pasukan berjaya memperbaharui catatan masa terpantas peribadi dan kebangsaan. Antaranya, catatan 6.189 saat untuk kategori 4T<150 Pro Drag oleh AS Motor Kelantan, 6.890 saat bagi kategori 4T<110 Pro Street oleh GST Project Johor, serta 7.243 saat untuk kategori 2T<150 True Street oleh Meran Motor Kelantan.
Hari kedua disambung dengan lapan lagi kategori untuk perlumbaan kereta iaitu NA <1.8 True Street, VTEC True Street, 2WD Turbo True Street, KCar <1.3 Pro Drag, VTEC/2WD Turbo Pro Drag, King Pro Drag serta SR1 Continental True Street dan SR2 Diesel True Street sebagai kategori tambahan. Paling mencuri tumpuan catatan 7.033 saat yang dilakukan oleh CMT Garage Performance Kuantan dalam kategori KCar <1.3 Pro Drag, termasuk 7.050 saat untuk kategori VTEC/2WD Turbo Pro Drag oleh Fin Racing Shah Alam.
Untuk keputusan penuh dan maklumat berkaitan, anda boleh layari Facebook: MUSC Motorsports.