Jika anda masih ingat, Ducati Scrambler Nightshift 2021 didedahkan buat pertama kalinya pada tahun lepas. Dikatakan sebagai penganti kepada model Cafe Racer dan juga Full Throttle, Scrambler Nightshift 2021 telah dibawa masuk ke pasaran Malaysia dan dilancarkan oleh Ducati Malaysia baru-baru ini.
Tidak melampau kalau dikatakan, ia antara model Ducati yang mempunyai penampilan cantik dan menarik. Scrambler Nightshift ini mengekalkan ciri-ciri rekaan ikonik dan spesifikasi dari famili Scrambler 800cc. Di tangki minyaknya dihiasi dengan Aviator Grey (kelabu) begitu juga dengan bahagian panel badannya.
Selain itu, pelananya menampilkan gaya Cafe Racer 798mm untuk penunggangan yang lebih selesa. dilengkapi sistem lampu LED penuh, pemegang bar yang luas dan panjang, rim lidi bersaiz 18-inci depan dan 17-inci di belakang dengan tayar Pirelli MT60.
Manakala dari segi mekanikal, tiada perbezaan ketara dari model-model terdahulu. Ducati Scrambler Nightshift ini dikuasakan oleh L-Twin 803cc penyejuk udara yang menghasilkan 73hp pada 8,250 rpm dengan tork 66.2 Nm pada 5,750 rpm. Kuasa ini disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan.
Bagi sistem brek pula, Ducati menggunakan Brembo serta ABS cornering.Bagi spesifikasi Malaysia, Ducati Scrambler Nightshift 2021 ini dijual pada harga bermula dari RM65,900 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Kalau anda ingin mengetahui lebih lanjut, sila hubungi wakil pengedar Ducati berhampiran di seluruh negara.