Sebagaimana yang sedia maklum, lanjutan pembaharuan bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak akan disambung selepas 30 September ini. Justeru, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan agar orang ramai memperbaharui lesen termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV) sebelum tamat tempoh pada tarikh yang dimaklumkan.
Selain di kaunter JPJ, urusan pembaharuan dokumen tersebut boleh juga dibuat di pejabat Pos atau secara dalam talian menggunakan taliah MyEG. Namun begitu, urusan di kaunter JPJ hanya boleh dilakukan menerusi temujanji berjadual, sebarang urusan secara walk-in tidak akan dilayan.
Bagi mengatasi permintaan temujanji yang dijangkakan akan meningkat menjelang 30 September ini, JPJ menerusi akaun rasminya di Facebook telah mengumumkan bahawa semua kaunter akan beroperasi pada hujung minggu bermula 13 Ogos (hari ini). Waktu operasinya pula bermula dari 9.00 pagi sehingga 1 tengah hari dengan kaedah pembayaran tanpa tunai (cashless).
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang berurusan di kaunter JPJ. Dimaklumkan juga, kapasiti petugas kaunter adalah mengikut garis panduang pengoperasian pejabat kerajaan mengikut fasa di bawah pelan pemulihan negara; Fasa 1 : 50%, Fasa 2: 60%, Fasa 3: 80% dan Fasa 4: 100%.
Waktu Operasi Kaunter JPJ (Hujung Minggu)
9.00 pagi hingga 1 tengah hari
Jumaat dan Sabtu (negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor)
Sabtu dan Ahad (negeri-negeri lain)