Semenjak wabak pandemik Covid-19 melanda dunia, semua aktiviti sukan dan riadah dibatalkan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat termasuk konvoi kelab permotoran. Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan setelah sekian lama rakan-rakan bikers tidak dapat menunggang motosikal, saat-saat yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia akhirnya tiba pada 8 Jun lalu apabila Dato’ Ismail Sabri Bin Yaakob – Menteri Kanan Pertahanan memaklumkan, kerajaan telah membenarkan pergerakan merentas negeri mulai 10 Jun lalu.
Peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh hampir segenap rakyat Malaysia setelah berbulan-bulan terperap di rumah bersama keluarga masing-masing sewaktu PKP yang lalu. Ada yang sudah pun merancang perjalanan dan peluang yang sama tidak dilepaskan kelab-kelab permotoran Malaysia.
Pada 15 Februari lalu, En. Mohamad Azam Bin Hasan @ Azam Gtra telah dilantik sebagai Ketua Perwakilan BMWMCM Utara (Ipoh, Penang, Kedah dan Perlis). Dalam waktu PKP, kelab BMWMCM tidak ketinggalan membuat aktiviti sumbangan untuk asnaf dan golongan yang kurang berkemampuan. Setelah dimaklumkan pihak kerajaan tempoh PKPB telah dilongarkan ke PKPP, En Azam bersama AJK Utara berbincang dengan ahli-ahli kelab di bahagian Utara untuk menganjurkan ride syawal selepas PKPB.
Perbincangan tersebut mencapai persetujuan dan mereka sebulat suara mewakilkan Haji Wazi Abdul Hamid yang juga seorang lagenda Cubprix untuk mencari lokasi dusun durian di negeri Perak. Lokasi yang menjadi pilihan ialah dusun durian di Kg Beko, Manong yang terletak di Kuala Kangsar. Pada 12 Jun, En. Azam sepakat bersama rakan bikers dari utara untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Mereka berpecah di mana setiap kumpulan hanya ada 10 orang rider sahaja dalam satu konvoi.
Rider dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dibahagikan dalam dua kumpulan. RV pertama mereka di Jitra dan seterusnya di R&R Juru untuk bergerak ke Kuala Kangsar dan bertemu rider dari kawasan Perak serta beberapa yang lain dari Kuala Lumpur. Walaupun mereka terpaksa mengharungi hujan dalam perjalanan ke Kuala Kangsar, para peserta tetap meneruskan perjalanan untuk bertemu rakan-rakan biker yang lain setelah lama tidak berjumpa.
Encik Azam dan rakan-rakan selamat tiba di tol Kuala Kangsar seperti yang dirancang dan disambut Haji Wazi Abdul Hamid bersama rakan-rakan dari negeri Perak. Kemudian, mereka dibawa ke dusun durian Kg Beko. Memandangkan masih lagi dalam bulan syawal selain acara makan durian, rakan bikers BMWMCM Utara dijamu dengan lemang, rendang dan tidak ketinggalan, jus pegaga dari Rusa House Lenggong Perak (Route A76).
Selesai solat Asar, lebih kurang jam 6.30 petang, para peserta bergerak pulang ke negeri masing-masing. Syukur Alhamdulillah, semua rider pulang dengan selamat.
Menurut En. Azam, sekiranya PKPP dilanjutkan, mereka akan merancang satu lagi program ride untuk masuk ke Pos Kemar di Grik pula untuk aktiviti off-road. Semoga rancangan kali ini juga berjaya disempurnakan.
Disediakan oleh : kNor