Penutup tahun ini dilabuhkan dengan Ride N Camp anjuran Northern ADV150 Owners Group (NADV150) bersama PEKETUM yang berlangsung selama 2 hari satu malam pada cuti umum Krismas 25 dan 26 Disember lalu. Sebanyak 25 buah motosikal telah menyertai konvoi kali ini dan halatujunya pula ialah Perlis Indera Kayangan. Susunan perjalanan juga telah diatur bagi memastikan program berjalan dengan jaya dan lancar.
Konvoi hari pertama, para peserta berkumpul di Hentian Sungai Muda, Kedah sebelum meneruskan perjalanan ke Perlis. Konvoi sempat singgah di Gurun dan Tol Hutan Kampung bagi menambah atur konvoi dan bersatu dengan ahli dari Kedah sebelum bergerak terus menuju ke Perlis.
Destinasi pertama ialah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), di mana rakan ADV150 Perlis memberi tunjuk arah dan jalan seterusnya. Hasrat pertama ingin singgah di Pasar Padang Besar tetapi hanya sempat sampai di sempadan daerah Padang Besar sahaja. Konvoi bergambar dan seterusnya makan tengah hari di sekitar Padang Besar. Makanan di sini boleh tahan juga sedapnya dengan sajian ala-ala Thai yang turut ada disedakan di sini.
Cuaca di Perlis sangat membantu urusan perjalanan konvoi kali ni. Kemudian, konvoi bergerak ke destinasi seterusnya iaitu ke Bukit Cabang dan mengambil masa untuk mengabadikan kenangan bergambar di sini beramai-ramai. Hanya mereka yang hadir sahaja tahu keadaan dan situasi di sini di mana pemandangan dan panoramanya amat memukau para pengunjung.
Destinasi seterusnya ialah ladang anggur sebelum ke Kawasan perkhemahan Rimba Ilham Campsite yang terletak tidak jauh dari sini. Di Rimba Ilham, peserta konvoi disambut ahli rakan PEKETUM. Setelah membuat pengesahan pendaftaran, para peserta menerima baju-t program beserta lokasi tempat tapak khemah yang telah ditetapkan. Para peserta mula memasang khemah dan memasang hammock masing-masing.
Aktiviti sebelah malam pula, para peserta disajikan dengan hidangan Sup Kambing dan BBQ yang sedap. Acara diteruskan dengan sesi suai kenal di antara semua peserta dan bertukar-tukar hadiah serta cabutan bertuah dari pihak PEKETUM juga ADV150 Perlis yang menyumbangkan hadiah untuk para peserta. Aktiviti disambung dengan alunan muzik buskers serta santai bagi menghangatkan suasana unggun api dipasang sambil mendengar rakan-rakan NADV150 yang mendendangkan lagu.
Hari kedua, para peserta konvoi memulakan perjalanan seawal 6.50 pagi menuju ke Puncak Wang Kelian di mana peserta ingin melihat awan karpet atau awan nano. Nasib menyebelahi para peserta kerana masih ada awan-awan bagi mengabadikan memori di sini dan bergambar beramai-ramai merakam kenangan bersama.
Konvoi seterusnya bersarapan dan bergerak menuju ke Gua Kelam sebelum ke tapak perkhemahan semula untuk kerja mengemas sebelum pulang menuju ke destinasi masing-masing. Bagi pihak admin Northern ADV150 mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur bersama rakan dari PEKETUM.
Tepat jam 12 tengah hari, konvoi mula bergerak keluar dari tapak perkhemahan menuju ke Kuala Perlis dan singgah di Masjid Terapung dan ke Kuala Perlia untuk bergambar. Di sini merupakan lokasi terakhir mengucapkan tanda terima kasih dan selamat tinggal kepada rakan-rakan dari ADV150 Perlis. Sebelum berpisah, sedikit kenangan ditinggalkan bersama dan berjanji akan berjumpa lagi nanti.
Konvoi diteruskan di mana perjalanan pulang melalui jalan Kuala Sanglang yang di bawa oleh lead marshal melaui jalan semi offroad yang terdapat di situ. Kehebatan Honda ADV150 samada di jalan raya dan offroad tiada tandingannya di mana Honda ADV150 semestinya yang terbaik dalam kelas pemanduan yang tersendiri.
Konvoi singgah untuk mengisi perut iaitu Mee Kuah Kuala Sanglang sebelum pulang ke destinasi masing-masing. Jutaan terima kasih kepada mereka yang menghadirkan diri untuk program kali ini di mana terasa kemesraan antara ahli serta dapat mengeratkan silatulrahim antara satu sama lain. Mungkin tidak selaju atau sepantas motor lain tapi masih mampu menghabiskan konvoi dan program dengan jayanya. Syabas kepada peserta dari Northern ADV150 Owners Group (NADV150) dan rakan PEKETUM atas kerjasama yang dijalankan.
Perkongsian : Fazrul ADV150