Hampir 60 buah jentera BMW S1K/HP4 telah berjaya dikumpulkan bagi memeriahkan lagi sesi perjumpaan TTS Himpunan Pemilik BMW S1K/HP4 kawasan utara. Diadakan pada 8 Januari lalu, program ini berlangsung di dua tempat iaitu di Al-Tamin Cun Restoran Bertam Kepala Batas, Pulau Pinang dan Vision Park bersebelahan Masjid Abdullah Fahim Bertam untuk sesi bergambar.
Selepas berakhirnya sekatan merentas negeri, aktiviti permotoran kembali aktif dan menyaksikan pelbagai program diadakan setiap minggu. Peluang ini turut digunakan oleh pemilik BMW S1K/HP4 Northern yang mengadakan program ini bertujuan untuk menyerahkan baju baru kelab dan menerima sambutan amat menggalakkan dari ahli-ahli kelab.
Setelah lama tidak berjumpa, pelbagai cerita menarik dikongsi bersama. Walaupun begitu, ahli-ahli kelab juga mengetahui bahawa kita masih lagi diselubungi oleh pandemik COVID-19. Banyak program yang disusun tergendala. Namun begitu, ramai yang masih mengharapkan tahun 2022 bakal menebus dan melaksanakan aktiviti serta program yang tertangguh.
Sebagaimana yang dinyatakan awal tadi, sesi bergambar telah diadakan di Vision Park, bersebelahan Masjid Abdullah Fahim Bertam. Bagi melaksanakan sesi ini, pihak penganjur telah menjemput wakil Roadstar kawasan Utara untuk merakam kenangan sepanjang program perjumpaan ini berlangsung. Para peserta akhirnya bersurai sekitar pukul 6.30 petang.