Sudah memasuki pasaran Indonesia pada bulan Oktober tahun lalu, kini tiba giliran Malaysia pula untuk memasarkan BMW CE 04. Skuter elektrik pertama BMW CE O4 (2023) ini dikatakan bakal memasuki pasaran menjelang bulan Mac ini. Harga masih lagi belum didedahkan pihak BMW Motorrad Malaysia tetapi besar kemungkinan ianya sekitar RM60,000.
BMW CE 04 ini tampil dengan rekabentuk futuristik yang sesuai sebagai sebuah skuter elektrik. Dilengkapi inovasi pemacu elektrik dengan memberikan kuasa maksima 31kW (42PS) dan tork 62Nm, BMW CE 04 ini sesuai untuk kegunaan di bandar. Walaupun begitu, skuter elektrik ini masih mampu memecut dari 0 ke 50km/j dalam masa 2.6 saat dengan kelajuan tertinggi pada 120km/j.
Dibekalkan bateri sebesar 8.9kWh, BMW CE 04 ini dicaj menggunakan palam kuasa 3 pin serta mengambil masa 4 jam 20 minit untuk sekali pengecasan. Selain itu, pemilik skuter elektrik ini turut disediakan pilihan pengecasan pantas 6.9kW yang memakan masa selama 1 jam 40 minit. Sekali pengecasan dengan bateri 8.9kWh tadi, BMW CE 04 ini boleh mencapai jarak sehingga 130km!
Selain itu, skuter elektrik BMW CE 04 ini dilengkapi dengan ciri-ciri menarik agar mudah dikendalikan dan dalam masa melancarkan perjalanan sertiap kali ditunggang. Antaranya termasuk paparan LCD TFT 10.25- inci yang memaparkan informasi penting termasuk bateri, jarak pemanduan serta pemilihan panduan; Eco, Rain dan Road. Bukan itu sahaja, skuter ini boleh diundurkan dengan menggunakan suis. Mudah, bukan?