Secara total saya main motor, berhenti, main kejap-kejap kemudian berhenti kejap. Main kereta dan main motor pinjam suka-suka mungkin sekitar 10 tahun. Dalam tempoh itu macam-macam benda terjadi dan selalunya perkara yang buat kita jadi ‘perlahan’ bilamana tengok insiden melibatkan kawan baik. Pernah satu ketika saya kehilangan kawan rapat 2 orang dalam masa sebulan. Masa tu mula fikir secara serius tentang keluarga, isteri dan anak-anak. Boleh tengok sendiri kesannya bila menunggang tak ingat dunia dan kadang-kadang jadi terkilan bila kemalangan berlaku disebabkan kecuaian orang lain sedangkan kita tertib menunggang motor.
Dalam tempoh waktu itu juga saya berjumpa bermacam jenis rider. Jenis hari ini keluar motor, besok dah sarung Supercorsa kemudian bawak ke trek pun ada. Ada yang keluar kedai terus sarung bodykit racing tak ada lampu depan. Ada yang keluar dari showroom sampai rumah naik lori tak pernah ride jarak 100km pun dalam setahun. Macam-macam ragam dan jenis orang tapi yang ini memang agak rare juga sebuah 1199 yang dibeli, modified tapi berkilat boleh dijilat!
Pemiliknya Muhammad Yusaini, sangat peramah dan merendah diri orangnya. Kalau saya kaya macam ni mungkin riak takabur tanpa disuruh. Dan resminya begitulah, brader Yusaini ni bukan ada 1 ni aje tapi beberapa buah motor lagi yang saya nampak R1200GS dan S1000RR semua dia punya. Tamaknya? Kalau berduit dan minat motor apa lagi nak buat? Takkan nak beli beg tangan Hermes?
Minat terhadap jentera beroda 2 ini bermula kira-kira 4 tahun lepas. Berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa tinggi, mengenali dengan lebih dekat kemahiran menunggang, brader Yusaini secara serius membeli sebuah motosikal khusus untuk kegunaan trek. Di situlah beliau berlatih dengan kelengkapan yang cukup dan kemahirannya diasah tanpa membahayakan diri dan orang lain. Walaupun ‘baru’ mengenali dunia motosikal berkuasa tinggi, ternyata kecenderungan terhadap motosikal impiannya Ducati tak dapat ditahan lagi.
Tanpa berfikir panjang, brader Yusaini pun memesan sebuah 1199 Panigale baru. Kalau sesetengah orang beli 1199 pun dah cukup bertuah, brader ni lagi kejam. Dapat saja motor, ia dihantar ke Ilusart, sebuah pusat modified kosmetik di Subang yang tak asing lagi di kalangan pencinta motosikal berkuasa tinggi.
Konsep yang dipilih ialah Martini Racing. Yalah, atas jalan berapa kerat sangat 1199 yang bukan warna merah? Dengan tema Martini tadi 1199 ini turut dipasangkan dengan segala jenis aksesori Ducabike yang ada untuk model ni. Ditambah lagi dengan set sproket CHT Racing, barang-barang dari Ducati Performance boleh dikatakan motor ni terus diharamkan bawak ganas-ganas. Dia punya jaga macam mana pun tak tahu saya nak gambarkan. Saya ada seorang kawan yang modified Evo 7 Varis lengkap, turbo sebesar perigi dan kesudahannya kereta lebih banyak duduk dalam garaj sebab sayang takut rosak dan calar!
Setelah bosan dengan konsep Martini tadi, brader Yusaini menukar konsep terkininya dengan tema baru. Ya, saya setuju kalau dikatakan hasil kerja Ilusart ni memang terperinci sekali. Yang penting, ia kemas dan kalau tengok pada kemasan sticker atau airbrush, bila dilapis dengan coating terakhir akan nampak macam keluaran kilang!
Sepertimana kehidupan seorang bikers sejati, brader kacak yang berusia 41 tahun ini pernah melengkapkan konvoi ke Phuket dan Koh Samui. Kalau beli big bike tapi setakat konvoi pergi Ulu Yam, baik dijual dan beli skuter, tak pun main mountain bike yang juga boleh ride sampai Tanjung Malim. Brader Yusaini kalau boleh disimpulkan, bukanlah jenis yang suka laju tak tentu hala, 2 buah motosikalnya di Ilusart boleh dikatakan jenis orang seni. Orang yang suka benda-benda nampak cantik, kemas dan sporty.
Kalau ini motor saya pun belum tentu dibawa pergi ride jauh-jauh apatah lagi pergi trek. Bawa ke SIC kemudian letak atas paddock stand mungkinlah. Sebenarnya lokasi terbaik motor macam ini ialah dalam garaj rumah. Bangun pagi, sambil pekena kopi kemudian ambil kain buat-buat gosok cuci mana yang patut walaupun memang tak kotor.
Ambik kerusi malas, duduk menghadap motor sambil layan vape perisa Kailan Ikan Masin. Yahoooo!