Program yang tertangguh selama dua tahun ini akhirnya berjaya dilaksanakan dengan sempurna pada hujung minggu lalu. Ride kali ini merupakan anjuran Anson Retro Club (ARC) yang bertapak di Teluk Intan Perak dan diketuai saudara RisanKing dan WakLee.
Sebanyak 40 buah motosikal telah terlibat dalam ride kali ini di mana kebanyakannya merupakan motosikal retro seperti Yamaha RXS, RXK, RXZ, KRZ dan lain-lain lagi. Program ini berlangsung selama tiga hari bermula dari 17 Disember hingga 19 Disember lalu.
Perjalanan dari mula sehingga tiba di Yong Peng, Johor berjalan lancar. Walaupun di awalnya hujan sangat lebat, para peserta tiba ke destinasi dengan selamat. Setibanya di tol Yong Peng, para peserta disambut sahabat-sahabat Retro Pari Yop iaitu saudara Hj. Ghazali, Hj Yusof dan Boy Panjang yang mengiringi konvoi sehingga ke homestay yang menjadi lokasi program.
Sebagaimana biasa, para peserta konvoi disambut dengan meriah dari kelab-kelab motor seperti Kakimoto Retro Club Batu Pahat, DRC Retro Club dan Geng Pasir Gudang. Sambutan yang cukup meriah ini membuatkan para peserta konvoi terharu. Program diteruskan dengan sesi bergambar di sekitar bandar Batu Pahat dan kawasan berhampiran.
Seterusnya, para peserta sempat singgah di kediaman Wak Muji yang sangat terkenal dengan koleksi motosikal peribadi milik beliau seperti motosikal klasik dan antik serta kereta lama yang sangat unik. Peluang ini bukan datang selalu dan digunakan sebaik-baiknya oleh para peserta merakamkan kenangan bersama koleksi menarik milik beliau.
Pihak ARC mengucapkan jutaan terima kasih kepada tuan rumah program iaitu Tuan Hj Ghazali, Wak Lepot, Hj Yusof, Boy Panjang dan ramai lagi kerana sudi menyambut para peserta konvoi dengan cukup meriah. Semoga hubungan yang terjalin sentiasa dirahmati Allah.
Perkongsian : Fuad