Sebagaimana yang diketahui, Honda CB750 sentiasa mendapat perhatian khususnya dari para peminat dua roda dan dikatakan sebagai motor yang mencetus revolusi terhadap dunia permotoran ketika eranya yang secara tidak langsung mengukuhkan kategori UJM (Universal Japanese Motorcycle). Namun, ia bukan satu-satunya motor yang dikeluarkan Honda. Salah satu contoh, motor CB125S keluaran tahun 1975 ini yang saiznya lebih kecil berbanding motor keluaran Honda yang lain.
Tidak banyak modifikasi atau ubahsuai yang dilakukan ke atas motor ini yang masih mengekalkan ton dua warna Candy Riviera Blue dengan fender krom. Warna ini eksklusif untuk motor keluaran 1975 kerana Honda sering menukar warna setiap tahun. Model ini dilengkapi speedometer 80 mph dan enjin silinder tunggal 122cc dengan transmisi 5-kelajuan.
Walaupun mengekalkan keadaan asal tetapi bukan semuanya dibiarkan begitu dan ini dapat dilihat menerusi tayar Shinko baharu, pemegang bar dan bateri baharu juga karburator aftermarket. Selebihnya, ia kelihatan seperti model asal dengan tempat duduk yang masih dalam keadaan baik. Begitu juga dengan brek cakera mekanikal di bahagian hadapan. Barangkali motor dengan saiz sekecil ini tidak memerlukan brek hidraulik.
Untuk rekod, CB125 tidak mengalami banyak perubahan sepanjang tempoh keluarannya dari tahun 1973 hingga 1985 dan motor keluaran tahun 1975 ini adalah contoh terbaik. Ia juga tahun terakhir model ini didatangkan dengan takometer yang kemudiannya digantikan dengan 124cc pada tahun 1976. Selepas direhatkan pada tahun 1983, model tahun 1984 beralih dari 6 hingga 12 voltan. Pada tahun 1985, lampu depan digantikan dengan segi empat tepat mengikut perkembangan trend ketika itu.
Sumber : Rideapart.com