Litar Sachsenring di negara Jerman merupakan kubu kepada juara dunia sembilan kali Marc Marquez. Beliau telah memenangi setiap kelas yang ditandingnya sejak 2009, bermula dengan 125cc, kemudiannya ke Moto2 dan seterusnya ke siri MotoGP.
Siri MotoGP tidak berlangsung di litar tersebut tahun lalu, bermaksud Marquez tetap kekal sebagai maharaja Sachsenring.
Kejohanan MotoGP akan berhijrah ke litar itu pada hujung minggu ini. Pelumba untuk pasukan Repsol Honda itu hanya dapat meraih tempat ketujuh sebagai kedudukan terbaik di dalam lima perlumbaan sejak dia kembali beraksi. Beliau telah tersingkir daripada tiga pusingan berturut-turut sebelum ini.
Semua penunggang jentera Honda RC213V masih berdepan dengan masalah kekurangan cengkaman tayar belakang. Adik Marc iaitu Alex Marquez masih bergelut di tempat ke-14 dengan pungutan 25 mata, Pol Espargaro di tempat ke-12 dengan 29 mata dan Takaaki Nakagami di tempat ke-11 dengan 31 mata. Marc pula hanya dapat memungut 16 mata iaitu jarak 99 mata daripada Fabio Quartararo yang mengetuai kejuaraan tahun 2021.
Marquez masih berada dalam proses pemulihan setelah beliau patah tulang tangan kanannya tahun lalu. Kecederaan itu juga menyebabkan bahu kanannya kurang kuat. Tetapi, beliau dapat membuat sebanyak 87 pusingan ketika sesi ujian di Catalunya minggu lalu. Selain daripada itu, corak litar Sachsenring mempunyai lebih banyak selekoh kiri daripada kanan dan ini mungkin akan memberikan kelebihan kepada Marquez.
Apapun terjadi, beliau akan kembali kuat satu hari nanti.