Zontes merupakan pengeluar motosikal yang berpengkalan di Guangzhou, China. Mereka telah menghasilkan beberapa model menggunakan enjin satu silinder berkapasiti 312cc yang menjadi popular di banyak negara termasuk Malaysia.
Penulis pernah melawat kilang Guangdong Tayo iaitu pengeluar motosikal jenama Zontes beberapa tahun lepas. Mereka sedang dalam proses penyelidikan pada masa itu dan kami diberitahu agar jangan wawarkan rancangan mereka. Tetapi kini mereka telah kemukakan enjin tiga silinder tersebut.
Enjin tiga silinder dipilih kerana ia menghasilkan daya tork serta kuasa maksimum yang dikira seimbang apabila dibandingkan dengan enjin dua silinder dan empat silinder. Enjin Zontes ini juga akan menggunakan aci engkol 120-darjah yang sama dengan Triumph. Ini bermaksud ia akan menghasilkan pecutan yang lincah serta kelajuan maksimum yang agak tinggi.
Zontes belum memberitahu apakah kapasiti enjin tersebut buat masa ini tetapi kami rasa ia merupakan satu rangkaian motosikal di antara 650cc hingga 800cc. Rekabentuk motosikal masih juga diperingkat rancangan dan mereka menunjukkan gambar konsep yang kami telah saksikan ketika lawatan kami.
Ramai pembuat motosikal negara China dikecam kerana “menciplak” teknologi serta rekabentuk motosikal lain tetapi kecaman ini tidak boleh diratakan kepada Zontes sama sekali. Ini kerana mereka mereka, membangun dan membuat lebih daripada 80% komponen-komponen di kilang mereka. Cara operasi sebegini ialah agar Zontes dapat mengawal spesifikasi dan lebih penting lagi, kualiti barangan mereka daripada bergantung kepada pembekal yang lain.
Sama-sama kita tunggukan perkembangannya kelak.