Jika tidak ada yang lama, tiadalah yang baru. Barang lama tetap jadi pilihan walaupun yang baru lebih canggih. Hobi dan minat seseorang terhadap sesuatu perkara memang tidak pernah sama kerana masing-masing mempunyai minat dan hobi berlainan dalam pelbagai bidang. Begitu juga dengan saudara Radzi Bin Dahaman. Biarpun umurnya sudah mencecah 57 tahun, tetapi minat terhadap jentera 2 roda tetap dihati.
Beliau yang berasal dari Kampung Sg. Limau Lunas (Kulim) mula meminati motor klasik pada tahun 2010. Sebagai seorang persara kerajaan yang sebelum ini berkerja, menyebabkan masanya terbatas. Bersara adalah masa yang sesuai bagi menyerlahkan minat beliau. Rasa minat terhadap motosikal klasik bermula apabila beliau terlihat satu pameran motosikal klasik di Kulim sempena Hari Polis. Jentera Honda C70 keluaran 1978 ini dibeli pada tahun 2019 dari seorang pemilik India. Sewaktu motor bertukar tangan, ia masih dalam keadaan asal. Ubahsuai dilakukan secara perlahan-lahan dengan sedikit pengetahuan dalam bidang permotoran.
Semuanya dilakukan sendiri dengan kerjasama dari peminat motor klasik kawasan Kulim. Honda C70 ini asalnya mempunyai 3 gear dan telah diubahsuai kepada 4 gear bagi melancarkan perjalanan. Boleh dikatakan, kebanyakan barang yang ditukar diperolehi dari negara jiran iaitu Thailand seperti signal depan yang diubahsuai dari asal kepada lebih kecil serta bakul depan dari EX5. Pemijak kaki belakang diambil dari basikal. Kelainan C70 ini terletak pada kusyen yang diubahsuai menjadi satu tempat duduk untuk kelihatan lebih sporty. Jika dilihat, sebanyak 90 peratus barang-barang yang ada pada C70 ini telah di-chrome-kan dan ada juga dibeli memang siap dah chrome seperti cover fork depan.
Ubahsuai yang dilakukan mengambil masa 6 bulan untuk menyiapkan enjin asal 3 gear yang ditukar kepada 4 gear kelajuan menggunakan kacukan dari enjin EX5. Block 53 dimasukkan dengan karburator wave 125. Semua yang ada pada C70 dan pengubahsuaian yang dilakukan adalah hasil idea beliau sendiri. Kos untuk upgrade enjin menelan kos lebih dari 2k dan ianya tidak termasuk barang-barang chrome.
Lampu belakang diperolehi dari sebuah kedai motosikal di Thailand. Bagi tampil lebih menarik, Radzi menukar lampu signal belakang kepada lebih kecil. Tayar depan dan belakang menggunakan tayar jenama Michelin bersaiz 70/90. Kusyen yang juga idea beliau sendiri, disalut oleh sebuah kedai kusyen yang terletak di Permatang Pauh. Kerja-kerja chrome pula diserahkan kepada kedai chrome di Seberang Jaya. Manakala barang-barang lain yang dah siap chrome bila dibeli di Thailand dan Kelantan. Bahagian yang paling rare adalah ekzos yang dikembarkan kiri dan kanan untuk lebih bergaya dan sporty. Bukan itu sahaja, cover fork depan juga dichromekan agar tampil berlainan.
Walaupun mempunyai motosikal terkini dan moden, Honda C70 ini tetap di hati. Sebuah lagi C70 peninggalan arwah ayah turut disimpan dan diubahsuai menjadi motor klasik. Selain minat mengubahsuai motor, beliau juga kerap berkonvoi ke Kelantan, Cameron Highlands, Langkawi, Kuala Lumpur, Port Dickson dan Thailand dengan menunggang jentera C70 ini. Beliau juga tidak ketinggalan menyertai kelab permotoran dan kelab yang disertai beliau ialah Antique Motosikal Snake River (AMSR). Selain itu, beliau juga kerap menyertai pertandingan autoshow motosikal klasik kategori klasik chrome dan pernah memenangi beberapa pertandingan di kawasan utara.