Soalan samada model Yamaha YZF-R9 akan diperkenalkan kelak semakin rancak diperbahaskan. Ini kerana terdapat laporan yang mengatakan bahawa terjumpanya dokumen permohonan paten untuk nama tersebut di Amerika Syarikat.
Yamaha telah menghentikan pengeluaran model YZF-R6 tidak lama dahulu kerana kurang sambutan. Harganya agak dekat dengan model 1000cc yang lain serta kos insurans yang agak tinggi di beberapa negara. Hakikat ini menyebabkan lebih ramai yang membeli model supersport 1000cc seperti YZF-R1.
Yamaha kemudiannya perkenalkan model YZF-R7. Namun, ia menggunakan enjin CP2 yang sama daripada model MT-07, yang menghasilkan 75 hp. Itu jauh berbeza dengan beberapa lawannya iaitu Honda CBR650R yang menghasilkan 90 hp. Model Aprilia RS 660 pula yang merupakan motosikal supersport jati menghasilkan 105 hp. Apapun, model YZF-R7 mungkinkah akan dijual pada harga yang termurah di dalam kelasnya di pasaran Malaysia?
Oleh itu, Yamaha kekurangan model sport di antara 800cc hingga 1000cc. Jawapannya ialah YZF-R9, jika benar. Seperti YZF-R7 tadi, YZF-R9 ini bakal menggunakan enjin 3-silinder CP3 daripada model MT-09 SP yang menghasilkan 117 hp.
Dalam masa itu, terdapat banyak lakaran konsep YZF-R9 di internet tetapi lakaran Kardesign yang paling cantik di mata kami. Apa lagi kalau dalam warna biru dan putih yang seperti model RD350 YPVS/RD500 YPVS dahulu.
Kita mengharapkan sebuah motosikal seperti ini dan pada harga yang berpatutan!
Sumber : Kardesign Koncepts