Hong Leong Yamaha Sdn. Bhd. memperkenalkan varian warna baharu bagi model Yamaha Ego Solariz untuk tahun 2019. Ia datang dengan 4 variasi warna terbaharu iaitu merah, biru, cyan dan emas sekali gus meletakkan model skuter kecil penuh bergaya.
Kali terakhir jentera moped ini diberi kesegaran dengan beberapa siri perubahan adalah pada tahun 2018 sejak ia mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2017.
Bagaimanapun, perubahan bagi tahun 2019 hanya berkisar kepada warna badan manakala tiada perubahan lain yang dilakukan pada jentera ini.
Harga bagi seunit model ini masih tidak berubah iaitu RM5,234 (tidak termasuk perlindungan insurans, cukai plat nombor dan cukai jalan)
Menyentuh mengenai spesifikasi Yamaha Ego Solariz 2019, ianya masih mengekalkan enjin satu silinder SOHC 125cc, suntikan bahan api dengan teknologi Blue Core dan sistem penyejukan udara.
Jentera ini menghasilkan kuasa sebanyak 9.4hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm. Ia juga digerakkan dengan transmisi jenis automatik tali sawat dengan tangki bahan api mampu menyimpan sehingga 4.2 liter.
Pada bahagian bawah tempat duduk, Yamaha Ego Solariz mempunyai kebuk penyimpanan simpanan sebanyak 10 liter manakala di bahagian kepala pemegang terletak dua kotak berupa ruang kecil bagi penyimpanan barang-barang kecil.
Yamaha Ego Solariz dipadankan dengan suspensi jenis teleskopik dengan rim bersaiz 14 inci (depan dan belakang), tayar dengan ukuran 70/90 (depan) 80/90 (belakang) dan sistem perberhentian jenis cakera sementara di bahagian belakang dipasangkan dengan brek dram manakala lengan ayun dengan monoshock untuk pembawaan penumpang dengan selesa.