Setelah mendedahkan klip pendek konsep e-Pilen lewat April lalu, kini giliran konsep Vektorr pula. Disebabkan ia masih lagi sebuah konsep, Husqvarna tidak berkongsi banyak maklumat tentang skuter elektrik ini. Buat masa sekarang, hanya rekabentuknya sahaja yang dapat dilihat.
Tidak ada perbezaan yang begitu ketara, skuter elektrik konsep Vektorr ini memang dapat dilihat dengan jelas bahawa ia sebuah skuter. Namun, ia mempunyai ‘bahasa’ atau gayanya yang tersendiri dan kalau diperhatikan ia kelihatan seperti LEGO. Keunikannya pada bentuk-bentuk blok yang halus.
Jika diperhatikan dengan teliti, lampu hadapannya seakan logo Husqvarna. Mungkin kerana kedudukan logonya di bahagian panel yang bersebelahan dengan lampu utamanya atau mungkin juga kerana fairing di bahagian atas yang membentuk seolah logo tersebut. Mungkin!
Konsep Vektorr ini sangat mudah, tidak rumit dan juga menarik. Menurut Husqvarna, kelajuan tertinggi untuk model ini dianggarkan sekitar 45kph atau hanya di bawah 29 mph. Manakala jarak jauh perjalanan dalam sekali pengecasan boleh mencecah sehingga 95km.
Sebagaimana yang dijangka, skuter biasanya digunakan untuk jarak perjalanan yang dekat, sesuai digunakan sebagai kenderaan di bandar. Ia dijangkakan akan memasuki produksi tidak lama lagi dan bakal dikeluarkan pada tahun 2022.
Sumber : Rideapart.com