Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi menyifatkan penyertaannya bersama pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) sebagai satu pengalaman baharu. Rossi yang menyertai pasukan itu bagi saingan musim 2021 yang dijadual membuka tirai di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 28 Mac ini berkata, dia sudah bersedia kembali hangatkan pentas saingan bersama rakan sepasukan yang juga anak didiknya, Franco Morbidelli.
“Saya mahu menjadi kompetitif, bersaing meraih kemenangan, bersaing merebut penamat di podium dan bersaing untuk mendapatkan posisi yang baik di penghujung musim nanti,” kata pelumba dari Itali berusia 42 tahun itu dalam satu siaran pengenalan pasukan bagi musim 2021 di Youtube, semalam. “Kami sangat fokus, sangat menumpukan perhatian untuk menjadi lebih baik.”
Pada musim lalu yang turut terkesan dengan pandemik COVID-19, Rossi membuktikan usia bukan halangan, apabila meraih satu penamat di tempat ketiga di Grand Prix (GP) Andalusia dan menamatkan kempen di tangga ke-15 keseluruhan dengan 66 mata.
Mengulas mengenai penyertaannya bersama pasukan Malaysia menggunakan jentera Yamaha M1, Rossi berkata: “Saya berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan PETRONAS Yamaha SRT. Satu cabaran baharu buat saya, sebuah pasukan yang baharu tetapi dalam tempoh dua tahun mereka sudah menunjukkan saingan kompetitif.”
Sementara itu, dalam satu sidang media selepas pengenalan pasukan, Prinsipal Pasukan Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya akan sedaya upaya untuk membantu Rossi mencapai sasaran dikehendakinya.
“Itu cabaran untuk kita. Kita nak membangunkan prestasi dan bekerjasama dengan beliau untuk menjadikan dirinya kompetitif. Beliau mahu menjadi seorang pelumba yang kerap berada di podium. Mungkin itu akan menjadi sedikit sukar tetapi kami akan melakukan yang terbaik untuk berusaha bersamanya.
“Saya juga sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memberikan kepercayaannya kepada kami. Kami akan cuba memastikan beliau menjadi seorang pelumba yang kompetitif,” katanya.
PETRONAS Yamaha SRT memasuki tahun ketiganya di Kejuaraan Motosikal Dunia tahun ini dengan musim lalu meraih kedudukan kedua terbaik dalam senarai keseluruhan pasukan yang bertanding dalam kelas perdana berkenaan selain mempertahankan gelaran ‘Best Independent Team’ buat kali kedua berturut-turut sejak 2019.
“Dengan Franco (Morbidelli) dan Valentino (Rossi) dan berdasarkan pencapaian tahun lalu, kami mempunyai keyakinan dan sepenuh kepercayaan yang kita mampu bersaing memburu kejuaraan. Dengan barisan pelumba terutama Morbidelli dan tentunya Rossi, kami akan cuba membantunya menjadi lebih kompetitif.
“Sasaran kami adalah memburu kejuaraan dan kami percaya mampu melakukannya dan tentunya sasaran lain adalah mempertahankan gelaran ‘Best Independent Team’… itu wajib untuk pasukan bagi setiap musim dan kami yakin yang ia mampu dilakukan dan kami mahu mencabar kejuaraan,” kata Razlan.
Pasukan Sepang Racing Team turut mengumumkan barisan pelumba mereka secara rasmi dalam saingan Moto2 dan Moto3. Xavi Vierge dan Jake Dixon akan mewakili kem PETRONAS Sprinta Racing dalam saingan Moto2 manakala John McPhee dan Darryn Binder menyertai pasukan Moto3.
Sumber : Berita Harian