Peminat Yamaha EZ115, motosikal underbone ini tampil dengan tiga warna pilihan baharu untuk tahun 2024 tetapi harganya kekal sama iaitu bermula dari RM5,698. Tiga warna yang dimaksudkan ialah Biru, Kelabu dan juga Ungu. Selain itu, ia juga didatangkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000km sekiranya ada kerosakan atau kecacatan pengilangan.
Setiap pembelian motosikal ini disertakan dengan kunci cakera keselamatan Yamaha bernilai RM100. Bukan sahaja tampil bergaya tetapi juga dilengkapi keselamatan yang terbaik. Didatangkan dengan kuasa silinder tunggal yang mematuhi piawaian Euro-4, tiada perubahan lain untuk motosikal Yamaha EZ115 ini.
Motosikal bersesaran 113.7cc ini didatangkan dengan penyejuk udara SOHC dan dikatakan mampu mencapai sehingga 9.92hp pada 7,750 rpm dan kuasa tork 9.9 Nm pada 6,500 rpm menerusi kotak gear empat kelajuan dan rantai akhir ke tayar belakang.
Manakala sistem brek pula disempurnakan oleh cakera depan tunggal hidraulik dan brek dram mekanikal di bahagian belakang. Bagi suspensi pula, Yamaha EZ115 ini menggunakan sistem suspensi fork teleskopik dan penyerap hentak kembar boleh laras. Headlight halogen yang lebih lebar, dipasangkan dan panel instrumen analog pula digunakan untuk paparan kelajuan, minyak dan juga posisi gear, bersama-sama dengan sebuah odometer.
Manakala tangki bahan api untuk Yamaha EZ115 ini ada di bahagian bawah tempat duduk dengan kapasiti 3.9 liter. Di sini juga ada bahagian untuk menyimpan sebuah helmet. Ia juga dilengkapi dengan roda 17 inci dengan tayar bersaiz 70/90 untuk bahagian hadapan dan 80/90 di bahagian belakang. Berat untuk Yamaha EZ115 ini yang disenaraikan adalah seberat 98 kg dengan ketinggian tempat duduk setinggi 775 mm.