Pentas Pameran Permotoran EICMA 2026 di Milan menyaksikan jenama Morbidelli secara rasminya mendedahkan barisan jentera pengembaraan (adventure) terbaharu mereka, Morbidelli T802. Dibangunkan di atas satu platform enjin 799 cc dwi-silinder (inline-twin), jentera ini ditawarkan dalam tiga variasi berbeza iaitu T802X, T802XR, dan T802XR RALLY bagi memenuhi keperluan gaya tunggangan yang pelbagai.

Kehadiran siri T802 ini mencetuskan daya tarikan tersendiri dalam segmen mid-size ADV untuk pasaran global mahupun pemerhati industri di Malaysia. Di bawah pengedaran pengedar rasmi tempatan, MForce Bike Holdings, pasaran Malaysia kini semakin terbuka kepada penerimaan jentera pengembaraan berspesifikasi tinggi yang dilengkapi pakej elektronik moden, sekali gus menjadikan siri T802 ini calon jentera yang berpotensi tinggi untuk pasaran tanah air.
Satu Enjin, Tiga Karakter Berbeza
Ketiga-tiga variasi T802 dikuasakan oleh enjin baharu 799 cc sejatan cecair (DOHC, 8-injap) dengan sistem Ride-by-Wire Bosch. Uniknya, aci engkol (crankshaft) jentera ini menggunakan penetapan 75 darjah bagi menghasilkan ngauman bunyi yang mirip enjin V-Twin. Enjin ini menghamburkan kuasa maksimum 94.5 hp pada 9,000 rpm dan tork 80 Nm pada 7,500 rpm, disokong oleh transmisi 6-kelajuan bersama slipper clutch dan bidirectional quickshifter.
Bagi memenuhi cita rasa penunggang, Morbidelli membezakan ketiga-tiga model ini menerusi persediaan roda, suspensi, kelegaan tanah, dan ketinggian tempat duduk:
T802X (Road & Touring): Direka khusus untuk perjalanan jauh di atas tar bersama pembonceng dan barang muatan. Menggunakan rim jejari tubeless 19-inci (depan) dan 17-inci (belakang) berserta tayar Metzeler Tourance. Mempunyai jarak kelegaan tanah 206 mm dan tempat duduk setinggi 830 mm. Model ini ditawarkan dalam warna Isaurus Blue dan Obsidian Cherry.
T802XR (On & Off-Road): Pilihan seimbang untuk jalan tar dan laluian tanah/kerikil. Dilengkapi rim 21-inci (depan) dan 18-inci (belakang) berserta tayar Pirelli Scorpion Rally STR, cakera brek dwi-320 mm, kelegaan tanah 245 mm, dan tempat duduk setinggi 850 mm. Pilihan warna merangkumi Raven Black serta Arctic White + Track Blue Pearl.
T802XR RALLY (Hardcore Off-Road): Variasi paling lasak khas untuk laluan off-road tegar. Kekal dengan saiz rim dan tayar seperti XR, tetapi jarak travel suspensi KYB ditingkatkan kepada 233 mm (depan) dan 230 mm (belakang), bersama kelegaan tanah setinggi 270 mm dan tempat duduk jenis rally seat (875 mm). Pilihan warna adalah sama seperti variasi XR iaitu Raven Black dan Arctic White + Track Blue Pearl.

Teknologi Pintar, Aksesori & Penyelenggaraan
Morbidelli tidak bertolak kompromi dalam aspek keselamatan apabila melengkapi keluarga T802 dengan unit pengukur inersia Bosch (IMU MM7.10). Ia menguasai sistem Cornering ABS, Cornering Traction Control, dan Anti-Wheelie. Terdapat tiga mod tunggangan disediakan iaitu Road, Sport, dan Off-road (di mana sistem ABS roda belakang boleh dinyahaktifkan). Menariknya, jentera ini turut dilengkapi radar belakang bagi amaran titik buta (blind spot) serta kamera hadapan yang berfungsi secara automatik sebagai DashCam 1080p, manakala paparan meter menggunakan skrin TFT 7-inci menegak berserta sambungan M-Link 4G.
Bagi aspek penjagaan jentera, jadual penyelenggaraan berkala ditetapkan pada 1,000 km pertama, diikuti setiap 6,000 km, manakala pemeriksaan kelegaan injap (valve clearance) dilakukan pada setiap 20,000 km. Pihak penganjur turut mengesahkan pelbagai rangkaian aksesori kembara khas kini berada dalam fasa pembangunan.

Jadual Pengeluaran & Prospek Pasaran Malaysia
Barisan siri T802 ini diperkenalkan sebagai model tahun 2027 (model year 2027). Fasa pembangunannya kini berada di peringkat akhir, dan Morbidelli menjangkakan pengumuman rasmi bagi permulaan pengeluaran serta jualan akan dibuat pada suku pertama tahun 2027 (Q1 2027). Pengenalan variasi jentera adalah bergantung kepada keperluan pasaran dan permintaan pengedar di sesebuah negara—sama ada menawarkan ketiga-tiga variasi, dua, atau hanya satu variasi sahaja.
Perkembangan segmen adventure touring kelas pertengahan (700 cc – 900 cc) di Malaysia menunjukkan peningkatan yang sangat ketara. Sekiranya MForce Bike Holdings membawa masuk barisan Morbidelli T802 ini ke pasaran tempatan kelak, gabungan reka bentuk berinspirasikan tradisi automotif klasik Itali, pakej elektronik termaju, serta penawaran harga yang kompetitif bakal menjadikan jentera ini antara pilihan utama peminat dua roda di Malaysia.

















