VOGE SR450X secara rasmi sudah mengesahkan keberadaan di pasaran Malaysia, dengan model itu membuat penampilan kuasa dwi-silinder. Perkhabaran ini sudah pasti memberi berita baik buat penggemar motosikal dalam segmen automatik sebegini.
Kenapa skuter masih menjadi pilihan ramai? Jawapannya adalah jentera skuter menawarkan kemudahan tunggangan secara automatik sepenuhnya berbanding motosikal semi-auto seperti kapcai dan jentera berkuasa tinggi yang lain.

Ia segmen paling popular bagi pengguna di Malaysia kerana skuter moden pada hari ini merangkumi pelbagai gaya dari model kecil hingga ke maxi-scooter atau skuter dalam segmen adventure yang menyediakan kuasa yang lebih tinggi.
Model VOGE SR450X yang pernah dirasmikan pada bersempena Malaysia Bike Show (MForce MotoXperience 2026) pertengahan tahun ini. Sebagai sebuah skuter kembara premium yang menggabungkan prestasi, keselesaan dan teknologi moden, VOGE SR450X direka untuk memenuhi keperluan tunggangan harian serta perjalanan jarak jauh.
Ditawarkan pada harga RM29,888.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, model ini tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Alpine Green, Cosmic Blue dan Onyx Black. VOGE SR450X dikuasakan enjin 398 cc dwi-silinder, 4 lejang, 8 injap, yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 31 kW pada 8,000 rpm serta tork maksimum 42 Nm pada 5,750 rpm.
Konfigurasi enjin ini sekali gus menjadikan VOGE SR450X sebagai skuter kembara premium pertama dalam segmennya yang menggunakan enjin dwi-silinder. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 84 × 72 mm dengan nisbah mampatan 11:1, selain menggunakan sistem penyejukan cecair, sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) dan sistem pencucuhan TCI.

Secara keseluruhannya, gabungan ini menawarkan prestasi yang responsif serta pengalaman tunggangan yang lebih lancar dan selesa untuk pelbagai jenis perjalanan. Kuasa enjin ini dipadankan dengan sistem transmisi automatik dan pacuan tali sawat, serta sistem pendikit dwi-kabel, membantu memberikan tindak balas pendikit yang lebih lancar dan tepat.
Bagi memenuhi pelbagai gaya tunggangan, VOGE SR450X turut menawarkan mod tunggangan Normal dan Sport yang membolehkan penunggang menyesuaikan karakter penghantaran kuasa mengikut keperluan perjalanan. Dengan kapasiti tangki bahan api 18 liter, VOGE SR450X juga menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh, menjadikannya sesuai untuk pelbagai kegunaan harian mahupun pengembaraan jarak jauh.
Bagi aspek pengendalian, VOGE SR450X menggunakan suspensi hadapan fork teleskopik terbalik KYB berdiameter 37 mm, dilengkapi sistem redaman boleh laras sepenuhnya dengan jarak pergerakan 122 mm. Di bahagian belakang pula, model ini dipadankan dengan penyerap hentak berkembar jenis ruang udara KYB dengan pelarasan prabeban dan redaman mampatan dengan jarak pergerakan 123 mm.

Konfigurasi tersebut turut disokong oleh lengan ayun (swing arm) aluminium aloi satu sisi, menawarkan keselesaan dan kestabilan ketika mengharungi laluan bandar, lebuh raya atau laluan yang lebih mencabar. Sistem brek VOGE SR450X menggunakan cakera tunggal terapung 300 mm di bahagian hadapan, dipadankan dengan angkup brek empat piston J.JUAN, manakala bahagian belakang menggunakan cakera tunggal 240 mm dengan angkup brek empat piston NISSIN.
Bagi meningkatkan tahap keselamatan, model ini juga dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh diaktifkan atau dinyahaktifkan bagi membantu mengekalkan kestabilan serta kawalan ketika membrek atau menunggang di permukaan jalan yang mencabar.
Model ini turut menampilkan sistem Pengesanan Titik Buta yang membantu mengesan kenderaan dalam titik buta penunggang, sekali gus meningkatkan kesedaran ketika menunggang. Skuter ini menggunakan tayar blok MAXXIS bersaiz 110/70-17 di bahagian hadapan dan 150/70-17 di bahagian belakang yang dipadankan dengan rim jejari. Gabungan ini bukan sahaja melengkapkan karakter kembara VOGE SR450X, malah membantu memberikan tahap cengkaman yang lebih baik di pelbagai keadaan permukaan jalan.

Dari segi dimensi, VOGE SR450X mempunyai ukuran 2,165 mm panjang, 879 mm lebar dan 1,440 mm tinggi, serta jarak roda 1,518 mm. Dengan ketinggian tempat duduk 795 mm, kelegaan tanah 180 mm dan berat siap diisi 220 kg, model ini sekali gus menawarkan kestabilan dan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.
Melengkapkan pakej yang ditawarkan, VOGE SR450X dilengkapi paparan TFT berwarna tujuh inci yang menyokong fungsi navigasi melalui paparan skrin menerusi aplikasi Carbit Ride, selain menawarkan sambungan Bluetooth bagi panggilan, nombor kenalan dan muzik, sistem tanpa kunci serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Kemudahan lain termasuk port pengecas USB Type-A dan Type-C, ruang simpanan hadapan dan bawah tempat duduk, sumber kuasa tambahan di ruang simpanan, butang pembukaan tempat duduk, cangkuk utiliti, tuil brek parkir serta penghadang angin boleh laras bermotor.

Melengkapkan pengalaman tunggangan, VOGE SR450X turut dilengkapi pemanas grip tiga tahap dan pemanas tempat duduk untuk penunggang serta pembonceng. Bagi menyokong karakter pengembaraannya juga, model ini didatangkan dengan pelindung tangan, lampu kabus, pelapik kaki anti-gelincir gaya off-road serta palang pelindung sebagai perlindungan tambahan ketika menunggang.
Dari aspek praktikaliti, VOGE SR450X dilengkapi penyerap hentak jenis hidraulik, bagi membolehkan bukaan tempat duduk lebih mudah untuk mengakses ke ruang simpanan. Ciri menarik lain yang ditawarkan ialah sistem kamera papan pemuka hadapan dan belakang yang membolehkan rakaman sepanjang perjalanan dibuat,
Selain itu, kemudahan seperti suis keselamatan tongkat sisi serta sistem pencahayaan LED sepenuhnya yang merangkumi lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat, lampu kecemasan dan lampu nombor pendaftaran. Dengan setiap pembelian VOGE SR450X, para pembeli boleh menikmati waranti selama 2 tahun. Perlindungan komprehensif penuh merangkumi tempoh 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana terdahulu).

Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada. Bagi para pembeli, anda boleh menikmati perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh VOGE Malaysia.

























