Bertempat di Kompleks Sukan Pagoh, telah berlangsungnya program Gegar Anak Johor 2022 selama dua hari bermula pada 13 dan 14 Oktober yang lalu. Dianjurkan oleh Spark Malaysia Club yang diterajui Zul Huzaimy atau lebih dikenali dengan panggilan Spark dengan kerjasama Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada hari pertama, program dimeriahkan dengan aktiviti sukan rakyat dan beberapa aktiviti lain seperti pertandingan mewarna khusus untuk kanak-kanak, permainan dam gergasi, sepakan penalti, pertandingan karaoke dan juga jualan serta pameran dari pihak swasta.
Acara kemuncak untuk program Gegar Anak Johor 2022 ini adalah pada hari kedua yang bermula seawal pukul 8.00 pagi dengan kehadiran penduduk setempat bagi mendapatkan baju rasmi Gegar Anak Johor secara percuma sebanyak 1000 helai, sumbangan Ahli Parlimen Pagoh.
Selepas selesai pemberian baju percuma, acara diteruskan dengan aktiviti senaman pagi berzumba yang telah dijemput khas oleh pihak penganjur. Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan sebanyak 100 hadiah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik termasuk tiga buah motosikal sebagai hadiah utama iaitu dua motor Yamaha RXZ dan satu motor Yamaha Y16ZR.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pagoh sekitar pukul 11.30 pagi, diikuti dengan aktiviti cabutan bertuah yang menawarkan dua buah motosikal seperti yang dinyatakan sebelum ini. Selepas merasmikan program, Ahli Parlimen Pagoh dibawa melawat khemah para peniaga dan beramah mesra dengan para pengunjung.Seterusnya, program diteruskan lagi dengan persembahan dari artis yang datang untuk memberi sokongan kepada Spark Malaysia club. Antara artis yang sudi meluangkan masa termasuk Zul Huzaimy, Dayana Roza, Azlan Komeng, Arin Auji, Cat Faris mejelyna dan Ayie Leon.
Bagi menarik lebih ramai penyertaan dan kunjungan dari peminat dua roda, pelbagai aktiviti sempat diadakan termasuk pertandingan motosikal tercantik. Sambutan dari para peminat motorshow amat menggalakkan. Sebelum menutup majlis, Cabutan Bertuah utama telah diadakan dan dicabut oleh Adun Bukit Kepong, iaitu Datuk Dr Sahruddin.
Bagi makluman, program kali ini berjaya menghimpunkan hampir seramai 10,000 orang pengunjung. Mungkin, program yang sama turut diadakan tahun hadapan seperti yang dimaklumkan oleh ketua program, Azlym Aziz. Tahniah kepada pihak penganjur dan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan penaja, pihak Polis, Rela dan juga penduduk setempat. Jumpa lagi di masa akan datang.