Berkonsepkan pengembaraan budaya, siri Jelajah Ride 5 Negeri + 1 Negara ini merupakan anjuran Kelab Kapcai Penjara Bentong, Pahang. Seramai 10 orang peserta telah terlibat di mana masing-masing menggunakan pelbagai jenama motor kapcai seperti Yamaha FZ150, Yamaha 135LC, Yamaha RXZ, Honda EX5, dan Moskito MZ. Diketuai oleh Presiden Kelab, saudara Kpl Zamzuri Bin Mat Yazid, siri jelajah kali ini melibatkan lima buah negeri dan sebuah negara iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Thailand.
Berlangsung selama tiga, para peserta konvoi dilepaskan oleh Presiden kelab setelah selesai taklimat dan juga bacaan doa oleh Sjn Zulkifli Bin Ali. Bertolak dari Penjara Bentong, Pahang pada pukul 4 pagi, siri jelajah ini juga dianjurkan bertujuan untuk melatih ketahanan mental dan fizikal serta semangat kerjasama pasukan dalam diri setiap ahli kelab.
Menerusi siri jelajah ini, setiap ahli berpeluang mempelajari serta mengetahui kelainan dan kepelbagaian budaya yang terdapat di setiap negeri. Disamping itu, para peserta dapat menikmati menu-menu makanan utama di sesebuah negeri. Lebih menarik lagi, tempat-tempat menarik di setiap negeri turut berpeluang dilawati. Setelah mengembara jauh, akhirnya siri jelajah menamatkan penjelajahan di Sg. Koyan iaitu di kediaman DSP Talhah bin Hasim @ Penasihat Kelab KPKPB.