Anda tentu masih ingat Chris, penunggang motosikal yang tidak pernah lokek berkongsi pengalaman beliau mengembara bersama motornya ke rantau asia. Beliau sekali lagi berkongsi pengembaraannya dan kali ini sempena sambutan Merdeka tempoh hari. Di awal-awal tahun baru 2020, apa kata kita mengimbau semula memori beliau sepanjang pengembaraannya meredah sejauh 7366 km dari Malaysia ke Thailand, Laos dan Kemboja. Semoga mendapat manfaat. Ayuh!
Sempena sambutan kemerdekaan, Chris memutuskan untuk memulakan perjalanannya bermula dari bangunan ikonik, Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. 62 tahun yang lalu, bendera British Union Jack telah diturunkan di sini buat kali terakhir pada 12.00 tengah malam, 30 Ogos 1957. Sebaik sahaja jarum jam menandakan pukul 12.00, bendera Malaysia dikibarkan buat pertama kalinya pada 31 Ogos sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan British dan secara rasminya Malaysia menjadi sebuah negara yang merdeka.
Menerusi blognya, Chris mengatakan beliau menunggang sekitar 500km setiap hari dalam masa 10-12 jam selama 14 hari di atas jalanraya seawal pukul 7.00 pagi dan ia menguji bukan secara fizikal malah juga dari segi mental. Sepanjang pengembaraan ini juga, beliau turut tercedera dan menjadikan perjalanan lebih menyukarkan. Kongsi Chris, kejadian berlaku apabila seorang pekerja yang membersihkan motornya cuba mengangkat motor dari stand dan hampir menjatuhkan motornya. Melihatkan keadaan itu, beliau terpaksa menendang stand sisi untuk memastikan motor berada dalam keadaan stabil tetapi kerana memakai kasut but untuk beberapa hari seterusnya menambahkan lagi kesakitan.
Menurut Chris lagi, ia merupakan pengembaraan yang indah kerana beliau berpeluang menyaksikan keindahan tempat-tempat menarik. Apabila mengembara jauh begini, ia bukan lagi tentang CC atau kelajuan, sebaliknya pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan di atas jentera dua roda. Tambah Chris lagi, sekiranya anda ada sesuatu yang terdetik difikiran, lakukan dan jangan biarkan apa-apa pun menghalang anda. Sebelum itu, pastikan anda sudah melakukan persiapan secukupnya.
Beliau tahu, suatu hari nanti pengembaraannya akan dijadikan sebagai inspirasi kepada ramai penunggang motosikal di luar sana tidak berasa takut untuk mengembara dunia walaupun mengembara secara solo sepertinya.
Seperti yang sering dikatakan beliau;
Ada yang menunggang untuk jarak,
Ada yang menunggang untuk menjelajah,
Ada yang menunggang untuk bebas
Ada yang menunggang untuk meluahkan rasa.
Tidak kira apa juga tujuannya, lakukannya kerana anda mungkin menyesal ketinggalan perkara-perkara yang menjadi memori terindah paling berharga. Akhir sekali, Chris mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan moral yang menjadi motivasi untuk beliau meneruskan perjalanan terutamanya, pihak Benelli Malaysia, rakan-rakan, keluarga, dan isteri yang tidak pernah jemu menyokong minatnya.
Ringkasan log pengembaraan;
Hari 1 : 1078 KM
KL – Gua Musang – Buketa – Narathiwat – Pattani – Phattalung – Nakhon Si Thammarat – Surat Thani
Hari 2 : 562 KM
Surat Thani – Ratchaprapha Dam – Ranong – Chumphon
Hari 3 : 575 KM
Chumphon – Nakhon Pathom – Kanchanaburi
Hari 4 : 584 KM
Kanchanaburi – Suphan Buri – Nakhon Sawan – Sukhothai
Hari 5 : 393 KM
Sukhothai – Si Satchanalai – Chiang Khan
Hari 6 : 227 KM
Chiang Khan – Nong Khai – Vientiane
Hari 7: 221 KM
Vientiane – Vang Vieng
Hari 8 : 825 KM
Vang Vieng – Vientiane – Nong Khai – Mukdahan – Khong Chiam – Ubon Ratchathani
Hari 9 : 412 KM
Ubon Ratchathani – Osmach – Siem Reap (Kemboja)
Hari 10 : 61 KM
Sekitar bandar Siem Reap
Hari 11: 496 KM
Siem Reap (Cambodia) – Phsar Prum/Baanpugard – Pattaya
Hari 12 : 957 KM
Pattaya – Bangkok – Hua Hin – Krabi
Hari 13 : 465 KM
Krabi – Satun – Hatyai – Sadao
Hari 14 : 510 KM
Sadao (Thailand) – Kuala Lumpur
Kos
Kos yang paling tinggi adalah bahan api (petrol); RM 3.80 (Thailand), RM4.80 (Laos) dan RM4.00 (Kemboja) setiap satu liter untuk RON 95. Kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM4850.00 +/-.
Kos bahan api : kira-kira RM2000.00
Kos penginapan : RM 1400.00
Kos makan dan minum : RM500.00
Bayaran masuk sempadan : RM350.00
Insurans perjalanan, wajib dan sukarela : RM600.00
Tempahan bilik penginapan lebih awal?
Chris tidak membuat sebarang tempahan awal dan memastikan pelan lebih fleksibel. Kebiasaannya beliau menamatkan hari ketika sudah lewat malam. Faktor paling penting, beliau memastikan tempat penginapan mempunyai parkir yang sesuai untuk motornya. Sebaik sahaja tiba di mana-mana lokasi, beliau akan membuka aplikasi booking dot com dan melihat hotel atau kawasan penginapan berhampiran yang menyediakan parking dan sarapan pagi. (Bajet sekitar RM100.00 untuk satu malam)
Prestasi BENELLI TRK 502?
Tidak mempunyai sebarang masalah dan ianya sebuah jentera yang hebat. Beliau menunggangnya secara keras di atas jalan mahupun di jalan lasak. Ada masanya melebihi 1000 KM. Satu sahaja masalah, iaitu tayar belakang tetapi sudah pun diselesaikan ketika perjalanan.
Menurut Chris, dia telah menggunakan Benelli TRK 502 selama dua tahun dan telah melakukan pengembaraan jauh beberapa kali. Jujurnya, untuk harga yang dikeluarkan motor ini cukup berbaloi.
Sekiranya anda ingin mengikuti lebih lanjut pengembaraan Chris, boleh klik di sini. https://www.riderchris.com/trips/merdeka-ride-exploring-on-two-wheels/

