“Saya ni jenis tidak peduli kata orang. Asal niat je, terus jadi. Macam saya sambar motor berkuasa besar sebelum ini pun, terus saya sambar sebelum mula berlatih dan mencuba dulu,” ujar Fyda ketika memulakan bicara mengenai hobinya terhadap jentera dua roda.
Mengimbau kembali kisah silamnya, hobi Fyda sebenarnya lebih terarah dalam industri permotoran kereta. Malah sejak di usia 17 tahun lagi, Fyda sudah mula berjinak-jinak dan menceburi bidang pemotoran kereta secara serius. Namun kerana minat yang cukup mendalam dan terasa bangga apabila terdapat segelintir wanita-wanita yang mahir mengendali motosikal berkuasa besar, jiwa Fyda mula merasakan tercabar dek cabaran yang dilontarkan oleh sekumpulan penunggang motosikal lelaki yang mahu dia belajar membawa jentera dua roda tersebut.
Dek tercabar dengan kumpulan itu dan mahu melihat kemampuan dirinya standing dengan wanita lain yang cekal dalam beraksi dengan jentera motosikal, Fyda mula tekad untuk menyambar sebuah motosikal. Namun bukan jentera kecil yang seharusnya dipilih sebaliknya Fyda lebih ‘bernafsu’ apabila dapat bermain dengan jentera berkuasa besar.
“Saya mengambil keputusan keesokan hari tanpa memikirkan risiko dan pengetahuan motosikal. Saya ke kedai motor untuk membeli sebuah motosikal berkuasa besar tanpa mempunyai lesen dan tidak mengetahui cara mengendali motosikal.”
“Motor pertama saya adalah Kawasaki Z900 yang mengambil masa selama tiga bulan untuk saya mempelajari dan mengawal motor tersebut,” ujar Fyda ketika menceritakan kembali detik awalnya dalam dunia dua roda ini. Pemilik nama sebenar Faridah Hanim Mohamad Farid ini, sebenarnya agak malu untuk berbicarakan perihal jentera modifikasi. Menurutnya, selain agak baharu dalam bidang modifikasi berbanding jentera pemilik lain, dia juga tiada pengalaman terhadap jentera dua roda malah menyifatkan hasil kreatifnya yang ditonjolkan hanya bersandarkan kreativiti suami-isteri.
“Terus terang saya katakan bahawa sebelum ini, saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai motosikal malah untuk mengendalikan jentera dua roda itu pun saya masih ‘zero’,” ujar Fyda yang turut dibantu suaminya, Nur Saiful Arif Ajit dalam menghasilkan modifikasi jentera Y15ZR tahun 2019.
Sekalipun belum menggelarkan jenteranya dengan sebarang nama, ‘The Pink Peiso’ (jolokan dari penulis) sudah mula menambat hati peminat modifikasi seluruh negara. Kali pertama Fyda mula berjinak dengan autoshow adalah pada Ogos 2019.
Disebabkan motor juga, Fyda bertemu dengan suaminya ketika ini. Meminati hobi yang sama, selain suaminya turut berada dalam kerjaya yang sama turut meminat aktiviti dan sukan pemotoran. Malah, pasangan suami isteri itu juga turut membuka sebuah bengkel berpangkalan di Taman Selaseh 1, Gombak yang diberi nama “Peiso Motor Garage” yang bererti “Garaj Moto Pelumba” dalam Bahasa Italy.
“Dari awal pembelian moto kecil ini hinggalah ke enam bulan selepas itu, Peiso Motor Garage hanya memberi perkhidmatan menukar minyak hitam dan penjualan tayar baru dan terpakai dari negara jiran, Singapura.”
“Pada mulanya, saya sekadar ingin mendekorasikan motosikal Y15ZR untuk tatapan pelanggan di kedai sahaja. Namun kerana minat mendalam terhadap motosikal berkuasa besar dan keinginan saya ingin menjadikan Y15ZR seperti motor dengan DNA jentera berkuasa besar akhirnya membuahkan hasil.
“Pada peringkat awal, pelbagai barangan yang saya cuba dan ada juga barangan yang saya pasang dan guna ke jentera ini hinggalah ke barangan original bahagian dari jentera berkuasa besar turut digunakan,” ujar Fyda mengenai permulaan hobinya.
Meminati bidang seni reka dan seni bina sejak kecil lagi, Fyda yang memiliki Ijazah Lanjutan (Master) dalam bidang seni bina di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan karier sebagai seorang arkitek mula mengubah suai jentera Y15ZR ke tahap yang dikehendaki.
Segulung ijazah yang dimilikinya itu, disamping minat dan kemahiran yang dimiliki, Fyda mula ‘merekabentuk’ motosikal tersebut daripada pemilihan warna hinggalah pada paras rupa.
Atas sokongan dan pertolongan suami yang juga pemilik Peiso Motor Garage dan kakitangan, akhirnya impiannya menjadikan Y15ZR sebuah jentera yang berbeza dari pemilik-pemilik motor yang lain menjadi kenyataan.
“Pada awalnya, saya menyertai pertandingan autoshow sekadar suka-suka dan sekadar menaikkan nama Peiso Moto Garage sahaja. Pada pertandingan pertama, saya dan Peiso beroleh kedudukan tempat ke-4 dan menjadi antara jentera modifikasi pilihan Y15ZR pada pertandingan tersebut.
“Tidak sangka pula lain ceritanya. Dari suka-suka, akhirnya saya berjaya mendapat tempat ke-4 dan secara tidak langsung menjadi titik permulaan yang membakar semangat saya utk memodifikasikan jentera saya ini menjadi lain dari yang lain,” ujar Fyda mengimbas kembali kejayaan sulung dalam acara pertunjukan tersebut.
Menjadikan jentera Yamaha Y15ZR versi kedua yang dibeli pada tahun 2019, Fyda mengenakan pilihan warna merah jambu pada jentera ini, warna yang melambangkan sifat feminin atau kewanitaan. Bagi menampakkan kegarangan pada jenteranya, beberapa barangan custom dipadankan pada jentera ini. Antara barangan custom yang dikenakan termasuklah Swing Arm Yamaha R1M 2018, set spoket diubahsuai dari ZX10R dan paling istimewa rim sukan dari jentera lumba PTERONAS Sprinta Moto2, Ozzy Racing.
Modifikasi Fyda tidak terhenti di situ, malah jentera Y15Zr ini turut menggunakan Fork Honda CB1000 Enkei dan turut dipadankan dengan kaliper depan dan belakang Original Brembo daripada motosikal Ducatti 848Evo termasuk bracket Brembo yang telah diubahsuai. Hos brek jentera ini juga turut diubah suai dari barangan asal HEL yang dibawa dari United Kingdom.
Menampakkan gaya yang tersendiri dari keseluruhan badan jentera bermula coverset dan kepala motor ini telah direka khas dengan kacukan Honda RS150 WinnerX dan direkabentuk sendiri oleh Peiso dan Team Slay Custom. Antara yang menarik ialah winglet (sayap kiri dan kanan) rekabentuk diadaptasi dari DNA jentera MotoGP Yamaha dan Ducati selain ekornya pula dari bentuk Yamaha R1M dan RSV4 Aprillia dan seluruh inner motor ini telah disalut original kain Carbon Honeycomb.
Yang menarik perhatian jentera ini ialah custom sistem sepenuhnya dan 3 biji muffler (dua di bawah seat belakang dan 1 keluar daripada swing arm belah kiri). Ketiga-tiga ekzos ini direka dengan ‘fully function’ dan mengeluarkan letupan-letupan api dengan menggunakan ecu daripada ECU Shop.
“Saya dan Peiso Motor Garage dikenali sebagai underdog yang tiada orang mengetahui siapa kami pada mulanya, setelah beberapa bulan kami menyertai pertandingan autoshow ramai yang mula memberi minat kepada jentera saya ini.”
“Ramai yang bertanya mengenai kos, disebabkan 90% motosikal ini adalah daripada idea dan hasil custom saya dan suami sendiri banyak mengurangkan kos perbelanjaan. Ia dapat menunjukkan hasil kerja, kreativiti dan keunikkan jentera tersebut. Untuk mendapatkan barang-barang yang asal dari motor berkuasa besar memang memakan kos yang tinggi, namun atas minat yang mendalam saya teruskan sahaja.”
“Impian saya suatu hari ingin membawa nama kedai dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Prinsip saya setiap pertandingan yang disertai akan saya bawa perubahan dan perbezaan tidak kiralah dari sekecil-kecil skrew dan nat hinggalah ke atas badan motosikal itu sendiri,” ujar Fyda mengakhiri perbualan.
Disediakan Oleh :
Mohd Izzuddin Kamaruddin (Teks)
FuadIpoh (Gambar)
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 80