Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. telah menyertai Rimba Raid Taman Negara 2022 yang berlangsung di Taman Negara, Pahang dengan menghantar 2 model motosikal untuk dipertandingkan iaitu WMOTO SX2-300 dan MOTO MORINI X-CAPE 650 X. Ini adalah kemunculan ulung bagi kedua-dua model tersebut di acara perlumbaan motosikal. Seramai 241 pelumba daripada 15 buah negara telah pun menyahut cabaran untuk menakluki laluan-laluan lasak di sekitar Taman Negara dan Hutan Simpan Pahang.
Acara ini menyaksikan kejayaan bagi kedua-dua model itu apabila WMOTO SX2-300 berjaya mendapat tempat ketujuh secara keseluruhan dan pelumba Malaysia yang ketiga berjaya menamatkan perlumbaan ini. Ini bermakna, ia mampu menewaskan dan meninggalkan lebih kurang 60 biji motosikal pesaing yang lain di belakang.
MOTO MORINI X-CAPE 650 X menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 dan merupakan pelumba Malaysia kedua yang berjaya mengatasi cabaran dan halangan di laluan-laluan sukar walaupun motosikal tersebut memiliki reka bentuk yang bertemakan adventouring dan lifestyle.
Jelas sekali bahawa kemenangan ini memberikan kejutan yang hebat kepada para penonton serta pesaing-pesaing yang lain kerana kedua-dua model ini baru sahaja dilancarkan pada pertengahan tahun ini dan masih lagi baru di pasaran Malaysia. Tambahan pula, kedua-dua model ini tidak mengguna sebarang aksesori tambahan atau melakukan sebarang pengubahsuaian berlebihan kecuali menukar tayar dan ekzos yang lebih sesuai untuk kegunaan off-road.
Sememangya ia bukan sesuatu yang mudah untuk para perlumba kita menamatkan perlumbaan ini disebabkan keadaan geografi laluan tersebut yang sangat mencabar berbanding laluan yang digunakan pada siri Rimba Raid yang lalu. Dengan jarak perlumbaan dalam 155km ini, sememangnya memerlukan skill, mentaliti dan stamina yang bagus serta jentera perlumbaan yang terbaik untuk melengkapkan perlumbaan ini.
Namun, para pelumba yang mewakili WMOTO SX2-300 dan MOTO MORINI X-CAPE 650 X ini berjaya membuktikan ketahanan dan keupayaan motosikal-motosikal bahawa ia sesuai untuk kegunaan yang lasak dan hardcore. Dengan keputusan yang diumumkan oleh pihak penganjur Rimba Raid hari ini, Mforce akan terus memperhalusi dan menambah baik strategi yang digunakan untuk Rimba Raid atau pertandingan lain akan datang.