Juara perlumbaan MotoGP Australia minggu lepas, Alex Rins Navvaro percaya, saingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sesuatu yang istimewa bagi dirinya dan seluruh pasukan Suzuki amnya. Selain cuaca yang tidak menentu, cabaran yang dihadapi ramai pelumba pada trek sepanjang 5.543 km itu.
Pelumba Team Suzuki Ecstar berusia 26 tahun itu ketika ditanya mengenai selekoh yang dianggap sukar dan istimewa memilih selekoh keempat dan terakhir sebagai cabaran yang sukar namun berharap ia mampu memberi impak positif kepada dirinya dan rakan sepasukan.
Terdahulu, Rins dan seorang lagi pelumba Team Suzuki Ecstar, Joan Mir bertemu dengan para peminat pasukan Suzuki di Shah Alam dan berharap perlumbaan hujung minggu ini memberi satu kejayaan yang terbaik sebelum berhijrah ke pasukan lain musim depan.
Pelumba kelahiran Barcelona, Sepanyol terdahulu mencipta kejayaan sulung pada musim ini untuk muncul juara perlumbaan di Philips Island selepas menamatkan saingan yang cukup dramatic mengatasi pelumba senegara, Alex Marquez (Repsol Honda Team) dan pendahulu kejuaraan, Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) dari Itali.
Bakal meninggalkan Team Suzuki Ecstar dan menyertai pasukan Honda musim 2023, Rins nekad untuk mencipta kejayaan menjelang dua perlumbaan terakhir iaitu di Litar Sepang dan Litar Valencia tahun ini.
“Saya telah berada bersama pasukan Suzuki sejak 2017 (MotoGP) dan banyak kenangan manis dan buruk kami hadapi bersama. Kami juga bergelut untuk melakukan persiapan pada awal musim sehingga kami berada pada kedudukan ke-5 dan ke-6 ketika ini.
“Kejayaan di Australia (Philips Island) membakar semangat pasukan. Walaupun sedih kerana terpaksa berpisah dengan Suzuki, namun kami berharap untuk mencapai kemenangan bagi dua pusingan terakhir ini,” ujar pelumba dengan jentera bernombor 42 itu.