Penampilan model Ninja 400 dengan pemakaian fairing sepenuhnya turut mendapat sentuhan warna terbaharu sebagai salah satu dari penampilan istimewa yang dikhususkan bagi model ini untuk pasaran tahun hadapan. Paling menarik adalah pada model dengan gabungan warna hitam dan kelabu serta calitan grafik hijau limau (lime green graphics), jelas menampilkan ketrampilan yang agak ranggi pada model pertengahan ini.
Anda juga turut boleh memilih variasi pilihan warna lain seperti warna merah yang juga turut mendapat calitan grafik putih halus pada fairing yang dikenakan pada badan model tersebut. Dan pilihan terakhir, Kawasaki menawarkan model Ninja 400 bagi tahun 2021 dengan penampilan warna biru teal yang agak retro dengan grafik perak.
Selain warnanya yang agak ‘merecik’, Kawasaki juga turut melakukan ujian semula terhadap jentera Ninja 400 399cc, parallel-twin untuk menjadikan enjin ini sesuai dengan piawaian dan tahap kualiti yang ditetapkan oleh Euro 5. Untuk rekod, tiga warna eksklusif yang ditampilkan oleh Kawasaki adalah Pearl Nightshade Teal/Metallic Spark Black, Passion Red dan Metallic Graohite Gray/Metallic Magnetic Dark Gray. Manakala tiada apa-apa perubahan yang berlaku terhadap motosikal dan ia bakal tampil di pasaran global tidak lama lagi.
Kita berharap, Ninja 400 edisi 2021 akan dibawa masuk ke Malaysia dan merancakkan lagi pilihan pembeli yang pastinya teruja dengan penampilan dan grafik yang lebih bervariasi selain pilihan warna yang sedia ada pada model yang diperkenalkan sebelum ini.