Pengeluar motosikal ikonik dari Bologna, Itali yang bertapak sejak 1959, Italjet, secara rasmi memperkenalkan model produksi 2027 Italjet Roadster 400 Serie untuk pasaran Eropah pada harga permulaan 7,995 Euro (sekitar RM36,100). Pertama kali dipertontonkan sebagai model konsep di EICMA 2025, jentera ini hadir menyusuli edisi terhad Founders Edition (777 unit di seluruh dunia pada harga 9,990 Euro) yang dilaporkan habis ditempah dalam tempoh 46 minit selepas tempahan dibuka.

Menggabungkan perkadaran skuter retro bersama kerangka keluli tubular trellis terdedah, Roadster 400 Serie ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Verde Menta (Mint Green), Avorio (Ivory White), Rosso Bologna (Deep Red), dan Nero Stellato (Gloss Metallic Black). Pada tiga daripada empat pilihan warna berkenaan, elemen aluminium tampil dengan kemasan Titanium Black bagi menggantikan kemasan emas pada Founders Edition untuk menonjolkan lagi bentuk serta kedalaman seni bina mekanikalnya.
Dari segi kuasa, kedua-dua varian Founders Edition dan Serie berkongsi asas mekanikal yang sama menerusi enjin 394 cc (400 cc mengikut regulasi pasaran tempatan) satu silinder, empat injap, sejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api elektronik. Enjin ini menghamburkan kuasa maksimum 41.5 hp (31 kW) pada 7,500 rpm dan tork puncak 41.2 Nm pada 6,000 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik CVT, sistem dry centrifugal automatic clutch serta pemacu utama V-belt.

Keunikan utama jentera ini terletak pada sistem stereng hadapan berpaten Dynamic Linkage Articulated Steering (DLAS) yang menggantikan fork teleskopik konvensional menerusi rangkaian dua bahagian (two-piece scissor linkage). Bahagian bawah rangkaian tersebut menyatukan spindel roda dan tapak brek tetap, membolehkan fungsi stereng beroperasi secara berasingan daripada sistem suspensi bagi meningkatkan ketepatan kawalan serta mengekalkan keselesaan tunggangan.
Perbezaan utama antara kedua-dua varian terletak pada kelengkapan suspensi dan ekzos. Roadster 400 Serie dilengkapi suspensi Marzocchi (linkage-actuated leading arm di depan dan trailing arm di belakang dengan jarak gerak 90 mm depan serta 120 mm belakang) dan sistem ekzos buatan Italjet sendiri sebagai spesifikasi standard. Bagaimanapun, pembeli masih boleh memilih suspensi Öhlins dan ekzos Akrapovič sebagai naik taraf pilihan, kelengkapan yang hadir secara standard pada Founders Edition.

Sistem pemberhentian pula dikendalikan oleh brek cakera berkembar 280 mm di hadapan dan cakera tunggal 260 mm di belakang dengan angkup Brembo, dibantu sistem ABS serta traction control. Jentera ini menggunakan rim jejari aloi billet ringan bersaiz 13 inci bersama tayar 120/70 ZR13 (depan) dan 150/70 ZR13 (belakang), manakala dimensi keseluruhan mencatatkan berat basah tanpa bahan api 151 kg, tinggi pelana 790 mm, jarak roda 1,540 mm dan tangki bahan api 12 liter.
Kelengkapan moden lain merangkumi sistem pencahayaan LED penuh dengan lampu nyalaan siang (DRL), paparan instrumen TFT dengan tiga mod paparan, tempat letak kaki pembonceng, serta sedia untuk pemasangan sistem anti-kecurian dan pemanas pemegang (heated grips). Dari sudut penyelenggaraan dan pelepasan asap, model berpiawaian Euro 5+ ini mencatatkan penggunaan bahan api 5.1 L/100 km, pelepasan CO2 bawah 90 g/km, sela servis setiap 15,000 km (atau 12 bulan), pelarasan kelegaan injap pada 30,000 km serta waranti 24 bulan tanpa had perbatuan.

Pengeluaran bagi model standard Roadster 400 Serie dijadualkan bermula pada musim bunga 2027. Di pasaran Malaysia, jenama Italjet diwakili oleh MZM Bike yang kini menawarkan barisan model Dragster 200 pada harga promosi RM25,800 serta Dragster 300 edisi Malossi dan Gresini Racing Team pada harga RM39,800.

























