Triumph Motorcycles memperkenalkan Street Triple 798 RS, generasi baharu yang membawa perubahan besar pada enjin, casis dan teknologi. Model ini dikuasakan enjin tiga silinder 798cc serba baharu yang turut dibangunkan untuk jentera Moto2 generasi seterusnya mulai 2027, sekali gus mengeratkan lagi hubungan Street Triple antara teknologi perlumbaan dan tunggangan jalan raya.

Enjin tiga silinder 798cc itu menghasilkan 135 PS, bersamaan sekitar 133hp pada 11,500rpm dengan tork maksimum 86Nm serta peningkatan tork sehingga 10 peratus di sepanjang julat rpm. Triumph turut melakukan pelbagai perubahan pada sistem injap, kemasukan udara, kebuk pembakaran dan ekzos bagi meningkatkan respons serta prestasi enjin. Pengalaman sebagai pembekal enjin eksklusif Moto2 sejak 2019, melibatkan lebih dua juta kilometer perlumbaan, turut dimanfaatkan dalam pembangunan enjin baharu ini.
Street Triple 798 RS turut menerima casis aluminium serba baharu dan mencatat berat basah hanya 183kg, menjadikannya Street Triple paling ringan setakat ini. Geometri casis turut diubah untuk meningkatkan ketangkasan, manakala kelegaan tanah yang lebih tinggi membolehkan sudut condong lebih besar ketika menunggang di litar. Handlebar baharu yang 20mm lebih lebar pula memberikan lebih kawalan dan keselesaan, dengan ketinggian pelana standard 836mm.

Bahagian suspensi menggunakan Showa Big Piston Fork 41mm boleh laras sepenuhnya dengan jarak gerak 120mm di hadapan, manakala belakang dipadankan dengan Öhlins STX46. Sistem membrek pula menggunakan kaliper Brembo Stylema bersama cakera 310mm di hadapan dan 220mm di belakang. Untuk cengkaman, Street Triple 798 RS dilengkapi tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V3 sebagai kelengkapan standard.
Pakej elektronik Street Triple 798 RS turut dipertingkatkan dengan tujuh mod tunggangan, iaitu Eco, Rain, Road, Sport, Track serta Rider A dan Rider B yang boleh dikonfigurasi. Turut tersedia ialah Optimised Cornering ABS, Traction Control+, kawalan roda depan, Launch Control dan Engine Braking Control. Sistem Triumph Shift Assist pula membolehkan pertukaran gear naik dan turun tanpa klac, termasuk ketika cruise control sedang digunakan.

Segala maklumat dipaparkan melalui skrin sentuh TFT HD Bosch 7 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem ini turut menawarkan akses kepada navigasi, muzik dan mesej, selain kawalan suara melalui Siri dan Google Gemini apabila dipadankan dengan set kepala Bluetooth yang serasi. Turut tersedia ialah port USB-C untuk mengecas peranti ketika bergerak.
Dari segi penampilan, Street Triple 798 RS masih mengekalkan identiti Street Triple tetapi tampil lebih tajam dengan DRL berkembar baharu dan lampu projektor LED. Sistem Adaptive Cornering Lights turut membantu pencahayaan ketika motosikal membelok. Ia ditawarkan dalam tiga warna, iaitu Interstellar Blue, Carnival Red dan Sapphire Black, selain pilihan aksesori seperti komponen gentian karbon serta ekzos slip-on Akrapovič titanium.

Bagi pasaran United Kingdom, Street Triple 798 RS ditawarkan pada harga bermula £12,995, dengan unit dijangka tiba di pengedar mulai Februari 2027. Setakat ini, harga dan tarikh pelancaran rasmi untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan. Jadi, peminat Street Triple di sini masih perlu menunggu perkembangan lanjut daripada Triumph Malaysia.





















