Skuter-skuter kecil moden selalunya dikaitkan dengan sifat feminisme. Enjin kecil, gear automatik, sistem pacuan belting dan semua kawalan di tangan. Rekaan versatil dengan cub ke depan dan pemijak lantai penuh membolehkan penunggang wanita menunggang dengan mudah walaupun mengenakan pakaian kain dan blaus. Saiznya juga kecil seperti Yamaha Ego S, Click, Symphony dan Icon. Walaupun kecil, pasaran skuter kompak ini tetap merupakan segmentasi yang tak pernah dilupakan oleh pengeluar motosikal utama di dunia.
Ia cukup penting di negara yang kesesakan jalanraya menjadi masalah utama. Ciptaannya untuk bergerak dari titik ke titik tidak mementingkan kelajuan. Sumpah, saya tak sanggup nak tunggang skuter sebab kelajuannya maha perlahan. Ia juga tidak lasak dan tidak sesuai untuk perjalanan jauh merentasi bandar.
Namun kini, skuter telah menjadi fenomena baru dalam bidang pengubahsuaian kosmetik motosikal. Dimiliki seorang gadis 23 tahun dari Kota Kinabalu Sabah, Aini lebih gemar mengubahsuai motosikalnya dengan konsep feminin juga. Yamaha Ego S yang dibeli pada 2010 ini tidak menunggu lama untuk ditransformasikan. Apa yang bermula dengan solekan kecil telah merubah rupa bentuk skuter ini sedikit demi sedikit.
Pengubahsuaian bermula dengan pemasangan rim jenis ‘dulang’ yang ditempah khas. Kedua-dua tayar belakangnya dipakaikan dari saiz yang sama 120/70 jenama FKR jenis low profile, sesuai dengan ‘watak’ yang bakal dijelmakan. Memilih warna pink sebagai tema utama, Aini telah mendapat ilham menggunakan konsep watak Hello Kitty untuk dijadikan persembahan keseluruhan. Tema ini meliputi segenap bahagian dengan penggunaan pelekat putih dimana-mana dan sepasang perehat kaki yang dibuat secara custom mengikut rupabentuk kepala Kitty.
Penggunaan warna pink tadi dikontraskan dengan beberapa bahagian putih yang saya kira membuatkan skuter ini nampak bersih dan padan. Kemasan lain ialah set krom yang terdiri dari bar hendal jenis monkey bar, perumah cluster meter, sepasang cermin sisi, bar penyandar kerusi belakang dan sebuah peredam bunyi yang berasal dari sebuah kereta kompak.
Bahagian yang terdedah seperti rim tadi digilap menjadi kilat, penutup enjin dicelup dengan kemasan krom menjadikan konsep skuter ini lengkap membantu antara satu aspek dengan sudut kemasan yang lain. Saya gemar melihat konsep begini kerana ia dilakukan mengikut struktur yang betul. Ramai yang cuba untuk mengubahsuai motosikal tetapi tidak ada tema yang tepat. Bila siap, mula rasa ada yang tak kena padahal pengubahsuaian tidak mengikut satu konsep yang jelas. Depan ganas, belakang ada taman. Begitulah lebih kurang perumpamaannya.
Modifikasi skuter begini kembali meriah. Kali terakhir yang saya perasan ialah ketika Suzuki menjual V100 dan VS125 tak lama dahulu. Ramai yang membina dengan konsep audio bergerak. Kemudian hilang begitu sahaja. Saya sendiri pun dalam perancangan untuk membeli sebuah maxi scooter. Sebuah skuter saiz sederhana yang boleh digunakan untuk menunggang berulang-alik ke tempat kerja. Dengan ruang meletak barang yang banyak, pergi tugasan pun jadi lebih cepat. Tiada masalah parking dan sudah tentu menjimatkan masa!