Pasaran skuter di Jepun tidak kurang hebat dan meriah dengan pelbagai model yang ditawarkan. Trend atau kegunaan motosikal dan skuter di Jepun mungkin terselindung di sebalik populariti pengangkutan awam yang sering digambarkan di media. Terbaru Yamaha Motor Co., Ltd. memperkenalkan skuter ranggi BW’S125 versi 2020 dengan warna baharu yang menyerlahkan karakter off-road.
Benar, BW’S125 bukan skuter biasa kerana Yamaha memposisikannya dengan ciri-ciri unik.
Apa yang membuatkannya berbeza? Satu ciri utama jelas boleh dilihat ialah tayar dengan corak bunga lasak seperti off-road. Ciri kedua ialah pelindung brek atau tangan ala scrambler dan off-road. Untuk versi 2020, Yamaha memperkenalkan warna baharu kelabu dengan kombinasi fender hitam dan roda kelabu gelap yang menyerlahkan karakter gabungan dan off-road. Juga menarik ialah brek cakera depan corak ombak berukuran 245mm mendominasi roda dan bahagian belakang turut dibekalkan dengan brek cakera.
Walaupun dengan karakter lasak, Yamaha tetap memperakuinya sebagai motosikal pengangkutan urban yang tampil bergaya. Seperti namanya, model ini digerakkan enjin 124cm³ SOHC dengan sejukan udara dan sistem suntikan bahan api. Enjin itu mempunyai kuasa 9.8PS pada 7,500 rpm dan tork 9.9Nm pada 6,000 rpm. Isian tangki minyak ialah 6.5 liter. Untuk kemudahan penunggang, ada cangkuk dengan had 1 kg dan bahagian bawah kerusi mempunyai ruang simpanan sekitar 29 liter.
Poket depan pula mempunyai ruang 1.4 liter yang boleh memuatkan botol air 500 ml. Yamaha BW’S125 dikilangkan oleh Yamaha Motor Taiwan dan dijual di Jepun pada harga 335,500 yen atau bersamaan RM13,345.
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ