Siapa sangka sebuah motosikal yang dibeli hasil titik peluh seorang pelajar universiti kini menjadi simbol kreativiti dan usaha gigih seorang usahawan muda? Inilah kisah YSuku Vinz VMP, motosikal Yamaha Y15ZR milik Sharvin Verasuntharam, atau lebih dikenali sebagai Vinz VMP. Motosikal ini bukan sekadar jentera pengangkutan, tetapi lambang semangat juang yang tidak pernah padam.
Pada tahun 2017, Sharvin yang baru tamat SPM menggunakan wang hasil kerja sambilannya di GrabFood untuk membeli Yamaha Y15ZR versi pertama. Dengan warna hitam klasik, motosikal ini adalah stok akhir model tersebut.
“Motosikal ini adalah hasil kerja keras saya sendiri, sebab itu ia sangat bermakna,” kata Sharvin yang turut bekerja sambilan semasa cuti semester di Sogo KL.
Minat terhadap modifikasi motosikal berkembang ketika Sharvin mula mengubah suai aksesori Y15ZR miliknya. Aksesori asal yang tidak digunakan dijual kepada rakan-rakan, memberi ruang untuk memasukkan elemen baharu pada motosikalnya. Dari sinilah tercetus idea untuk memulakan perniagaan menjual aksesori motosikal, yang kini dikenali sebagai Vinz Motor Parts.
Sharvin menceburkan diri dalam perniagaan atas talian sekitar tahun 2019. Bermula dengan platform seperti Shopee dan Facebook, perniagaannya mula mendapat perhatian.
“Saya tidak mahu menjadi peniaga biasa. Saya mahu cipta kelainan,” katanya.
Beliau mula menghasilkan aksesori unik sendiri dan mempamerkan hasil kerja melalui motosikal YSUKU VMP miliknya. Hasil modifikasi pada motosikal ini adalah bukti kreativiti dan kerja keras Sharvin. Setakat ini, lebih RM20,000 telah dilaburkan untuk menaik taraf motosikal tersebut dan semuanya hasil kerja tangan sendiri Setiap bahagian mencerminkan identiti Sharvin.
Pada tahun 2023, Sharvin memberanikan diri menyertai TMC 5.0, sebuah acara autoshow di Melaka. Walaupun tidak berjaya pada percubaan pertama, beliau tidak berputus asa.
“Kegagalan adalah permulaan kejayaan. Saya takkan berhenti mencuba,” katanya. Semangat juang ini akhirnya membuahkan hasil apabila beliau memenangi kategori Best Custom Creative di acara Gombak Mega Bike Gathering.
YSUKU VMP kini tampil dengan modifikasi luar biasa, termasuk gabungan carbon fiber oleh OneCarbon dan hasil tuning oleh ZD Tuner. Suspensi, sistem brek, dan bahagian estetik motosikal ini direka khas untuk memberikan pengalaman tunggangan yang terbaik. Setiap perincian adalah bukti dedikasi Sharvin terhadap seni modifikasi motosikal. Kisah Sharvin dan YSUKU VMP pastinya memberikan inspirasi kepada ramai peminat motosikal di Malaysia.
“Saya mahu tunjukkan bahawa apa sahaja boleh dicapai jika kita berusaha,” katanya. Beliau juga berharap dapat terus memperluaskan perniagaannya dan menghasilkan lebih banyak modifikasi kreatif.
Dengan kejayaan di arena autoshow, Sharvin merancang untuk menyertai lebih banyak acara dan membawa nama Vinz Motor Parts ke tahap yang lebih tinggi. Baginya, YSUKU VMP bukan sekadar motosikal, tetapi simbol potensi tanpa had.
YSUKU Vinz VMP adalah bukti bahawa dengan usaha, dedikasi, dan kreativiti, seseorang boleh mengubah sesuatu yang biasa menjadi luar biasa. Kisah Sharvin ini adalah motivasi kepada generasi muda untuk mengejar impian mereka tanpa rasa takut gagal.
“Tiada had untuk apa yang kita boleh capai, asalkan kita percaya pada diri sendiri,” ujar Sharvin, penuh yakin.
Dengan modifikasi yang menakjubkan dan cerita inspirasi di sebaliknya, YSUKU VMP bukan sekadar motosikal sebaliknya ia adalah karya seni yang menggerakkan jiwa.